
Kenyataan Media PAS Kedah
BUBAR DUN KEDAH SEBAGAI FORMULA PENYELESAIAN
1. Kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa kononnya seluruh kepimpinan Umno Kedah telah hilang kepercayaan terhadap Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan Umno dan Menteri Besar; adalah kemuncak dari perpecahan Umno negeri ini yang tidak berupaya lagi disembunyikan.
2. Dakwaan bahawa Dato’ Seri Mukhriz telah “gagal mengurustadbir negeri secara berkesan” sebagai antara sebab Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap beliau; membenarkan dakwaan PAS selama ini terhadap kerajaan negeri pimpinannya. Apapun kegagalan tersebut tidak harus dipertanggungkan ke atas beliau semata-mata, sebaliknya ia adalah kegagalan sepenuhnya kerajaan negeri pimpinan BN. Secara tidak langsung Umno Kedah sendiri mengakui bahawa kerajaan mereka gagal!
3. Senario yang berlaku, sekaligus memadamkan retorik politik yang dilaungkan selama ini iaitu “BN menang, Kedah senang”. Apa yang berlaku, rakyat tidaklah memperolehi banyak kesenangan ekoran kemenangan BN, manakala mereka yang telah diberi mandat oleh rakyat itu pula asyik bercakaran kerana merebut kuasa.
4. Berdasarkan pergolakan yang berlaku dalam parti peneraju kerajaan negeri serta kegagalan mereka dalam pentadbiran negeri, saya berpandangan bahawa sesiapa sahaja yang dilantik sebagai menteri besar tidak akan dapat memulihkan situasi yang meruncing tersebut. Bahkan pelantikan menteri besar baharu dari parti yang sama hanya akan menambahkan lagi masalah terhadap pentadbiran, sekaligus menyusahkan rakyat.
5. Oleh kerana mandat yang diberikan oleh rakyat terhadap BN dahulu adalah kerana penonjolan Dato’ Seri Mukhriz sebagai calon menteri besar, maka adalah lebih wajar mandat itu dipulangkan kembali kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaharu. PAS Kedah menyarankan, Dato’ Seri Mukhriz selaku menteri besar yang sah supaya mengadap Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah untuk menasihatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri. Ia adalah formula terbaik untuk menghadapi kemelut yang berlaku.
6. PAS Kedah bersedia sepenuhnya untuk menjadi alternatif kepada sebuah kerajaan BN yang gagal, lemah dan berpecah itu. Saya percaya, kali ini rakyat Kedah lebih bijak dalam membuat keputusan setelah melihat kegagalan nyata BN; sekalipun hampir tiga tahun diberi peluang mentadbir.
Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
20 Januari 2016.
Pesuruhjaya PAS Kedah
20 Januari 2016.
0 comments: