Hari Wilayah: Selesaikan isu gelandangan, peniaga kecil

KUALA LUMPUR: Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya menyelesaikan beberapa perkara terutama membabitkan isu gelandangan dan penempatan peniaga-peniaga kecil di bandaraya sempena sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari ini.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohamad Noor Mohamad berkata, pihak DBKL seolah-olah gagal menyelesaikan masalah tersebut sejak sekian lama.
Menurut beliau, sekiranya perkara tersebut tidak diselesaikan, ia akan memberi impak kepada pandangan masyarakat dan pelancong luar yang datang ke bandaraya khasnya Kuala Lumpur.
“Kalau kita menelusuri jalan di Kuala Lumpur pada waktu malam, kita akan melihat ramai gelandangan yang tidak mempunyai kediaman. Itu yang berlaku.
“Selain itu juga, kerajaan tempatan perlu memberi perhatian kepada golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai tempat untuk berniaga,” kata beliau ketika dihubungi 15 Januari lalu.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya menyediakan kawasan lebih baik bagi menjaga kebajikan mereka. Begitu juga isu yang melibatkan peniaga-peniaga di pusat beli belah Ampang Park kerana lokasi tersebut terlibat dengan projek Mass Rapid Transport (MRT).
Beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menyelesaikan isu tersebut secara holistik agar manfaat dapat dirasai oleh semua pihak terlibat.
Hari Wilayah yang disambut pada 1 Februari setiap tahun sempena pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan Wilayah Persekutuan pertama pada 1974 dan tema yang dipilih bagi sambutan 2016, ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.
Tema itu dicetuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang mahu menjadikan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai sebuah bandar yang ceria, bersih, indah dan kondusif.

0 comments: