
IMPLIKASI SISTEMIK PENGURANGAN PERBENDAHARAAN UNIVERSITI AWAM
Oleh: Abu Ubaidah
November 2015, PAS telah mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dalam proses mengelakkan sejarah ‘Government Shutdown’ yang telah dihadapi oleh Amerika Syarikat daripada berulang, Pas turut menyatakan dengan jelas dan kritis akan pandangannya terhadap beberapa perkara. Ada di antara kritikan-kritikan tersebut berkait rapat dengan Universiti-Universiti Awam (UA) negara.
Sistem pendidikan tinggi negara telah meletakkan universiti-universiti penyelidikan untuk berada di bawah pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi. Hasilnya adalah sifat kebergantungan universiti terhadap kerajaan pusat bagi agenda pembangunan aset, perkembangan kemahiran dan ilmu pengetahuan.
Bajet 2016 menjelaskan bahawa akan berlakunya pengurangan dana kepada Kementerian Pengajian Tinggi sebanyak 2.4 billion ringgit. Melihatkan jumlah tersebut, sudah tentu kita bersama-sama dapat menjangkakan akan berlakunya pemotongan peruntukan kepada universiti-universiti awam di seluruh negara. Universiti Malaya telah mencatatkan pengurangan sebanyak hampir 27.3 peratus daripada nilai peruntukan keseluruhan tahun lalu, iaitu bersamaan dengan 173 juta ringgit.
Penulis cuba untuk memahami rasional di sebalik penurunan mendadak ini. Melihatkan kepada ungkapan kata-kata mereka yang mempunyai autoriti, rata-rata menjelaskan bahawa pengurangan ini adalah untuk meningkatkan kompetensi institusi pendidikan awam untuk menjadi sebuah organisasi ‘self-sustaining’. Ada juga dalam kalangan mahasiswa yang telah menyatakan bahawa pengurangan ini sama sekali tidak akan menjejaskan proses operasi universiti, malahan kebajikan mahasiswa akan senantiasa terus terjaga oleh pihak universiti. Ada juga yang menjelaskan bahawa masanya sudah tiba untuk para mahasiswa mengambil keputusan mencari kerja-kerja tambahan bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.
Penulis cuba untuk melihat daripada perspektif yang lain. Perspektif yang lebih luas.
Bermula daripada Perang Dunia Kedua, Kerajaan Amerika Syarikat telah mengambil keputusan untuk mewujudkan kerjasama yang lebih rapat dengan 63 universiti-universiti terkemuka di dalam negara tersebut. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memacu proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
Proses ini adalah begitu penting bagi memastikan penguasaan teknologi global untuk berada di bawah tangan Amerika Syarikat berbanding dengan musuh tradisi mereka Soviet Union.
Hasilnya adalah apa yang dapat dilihat pada hari ini, di mana Association of American Universities ini begitu berperanan dalam meletakkan negara tersebut sebagai salah satu daripada punca pembangunan inovasi-inovasi baru. Inovasi yang diciptakan berkembang dengan begitu pantas, sehingga universiti-universiti mereka menjadi tumpuan ramai bakat-bakat daripada seluruh dunia.
Dana besar yang telah dibekalkan oleh kerajaan, agensi-agensi swasta dan endowment telah memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan biasiswa kepada pelajar-pelajar pintar seluruh dunia untuk mengambil jurusan-jurusan kritikal di universiti mereka seperti Harvard, Standford dan MIT. Kepintaran mereka akhirnya digunakan kembali dengan memposisikan sumber-sumber manusia ini ke dalam agensi-agensi teknologi utama seperti National Aeronautics and Space Administration (NASA), Lockheed Martin dan sebagainya.
Apakah hubungan peristiwa di atas dengan keadaan semasa institusi pendidikan negara? Kekurangan dana universiti awam akan terus menyebabkan institusi kita gagal berfungsi sebagai sebuah hub pemudah cara bagi para pengkaji atau para palajar pintar global untuk bertandang dan mengembangkan ilmu di dalam negara. Bagaimana biasiswa-biasiswa ingin diberikan, bagaimana hubungan bilateral universiti dapat diutuhkan, jika jumlah kewangan yang ada sudah semakin mengecil? Tanpa ragu-ragu, penulis yakin universiti negara akan kehilangan bakat-bakat dari dalam dan luar negara jika kerajaan dilihat tidak mempunyai keinginan yang serius dalam menambah nilai institusi pendidikan kita.
Universiti-universiti terus dijadikan sebagai tempat persinggahan sementara bagi para pelajar untuk mendapatkan segulung ijazah daripada pensyarah, tanpa memikirkan tentang keperluan pertambahan dana untuk tujuan penyelidikan.
Dengan dana yang terhad, para penyelidik negara akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan teori-teori idea baru. Sudah pasti, dengan jumlah peruntukan yang semakin berkurang, para penyelidik akan berebut sesama mereka untuk cuba mendapatkan geran penyelidikan yang diperlukan. Keadaan ini sudah pasti akan menyukarkan dan melambatkan proses Cetusan Idea Baru.
Cetusan-cetusan idea adalah begitu penting untuk menjamin progres ilmu.
Contohnya, melalui perbincangan dalam kalangan ahli-ahli fizik yang pintar di Eropah yang akhirnya mencetuskan teori Partikel Tuhan di dalam penyelidikan mereka. Hasil perbincangan melalui Kesatuan Eropah akhirnya bersetuju untuk membangunkan Jentera Pelanggar Zarah Large Hadron Collider di tengah-tengah Bandar Geneva yang akhirnya mengembangkan dunia ilmu partikel fizik secara drastik, lantas menghasilkan beberapa penerima Anugerah Nobel Sains yang ulung.
Alangkah malang jika ilmu penyelidikan negara tidak mampu berdiri setanding dengan negara maju hanya kerana kita tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi. Harapan negara untuk melahirkan seorang penerima Anugerah Nobel menjelang 2020 mungkin tidak akan kesampaian. Mungkin ianya merupakan satu angan-angan pada awalnya lagi.
Penulis tetap beranggapan pengurangan 27.3 peratus peruntukan keseluruhan Universiti Malaya adalah terlalu drastik dan tergesa-gesa. Ia jelas menunjukkan bahawa prioriti perbelanjaan negara adalah berbeza daripada apa yang diharapkan penulis. Ini adalah apa yang dimaksudkan penulis sebagai Implikasi Sistemik.
Penulis turut ingin memberikan echo kepada ungkapan Catatan Dhuha Yang Berhormat Idris Ahmad berkenaan hal yang ditulis:
‘Dalam apa keadaan sekalipun, soal pendidikan, kesihatan dan pertahanan tidak boleh berkompromi. Peruntukan bajet pada tempat lain boleh dikurangkan tetapi tidak di ketiga-tiga sektor ini’ – Idris Ahmad, Parlimen Bukit Gantang.
Penulis yakin bahawa PAS akan terus konsisten memperjuangkan Islam berlandaskan kepada elemen-elemen pembangunan semasa.
Sejarah telah menunjukkan bahawa Islam senantiasa berkembang selari dengan kemodenan dunia. Katakanlah, apakah sama orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran – Az-Zumar:09.
____________________________________
Penulis adalah pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Beliau dan rakan-rakan mengharapkan masa depan Malaysia yang baik dan sejahtera bersama dengan PAS.
0 comments: