Jangan terus salahkan PAS

KOTA BHARU - Pas menempelak sikap segelintir pihak yang terus menyalahkan parti itu dalam isu perpecahan hubungan politik dengan DAP.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata, rakyat mahupun pimpinan lain perlu memahami hakikat sebenar dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan kesalahan terhadap Pas semata-mata.
Menurutnya, hakikatnya amat jelas dan perlu disedari bahawa DAP bukan sahaja tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud, bahkan sekeras-kerasnya  menghalang perlaksanaannya.
“Kita duduk rumah sekali tetapi tiba-tiba DAP sekat pintu kita, kunci pintu rumah. Kita (Pas) mahu keluar tidak boleh sedangkan pintu rumah kita, peliklah.
“Sampai kita mahu ke masjid pun tidak boleh, dia tidak mahu ke masjid tidak mengapa, tetapi jangan kunci pintu kita. Itu sebab kenapa kita berpecah dengan DAP,” katanya dalam ceramah di Dun Salor kelmarin.
Mohd Amar yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan juga mahukan rakyat tidak terus membandingkan hubungan Pas dengan Umno serta DAP dalam isu hudud berkenaan.
“Kita dengan DAP sampai duduk di rumah sekali (tahaluf siyasi), duduk sekali dalam bilik, dengan Umno tidak sampai begitu.
“Dengan Umno pun baik, setakat duduk minum air kedai kopi tetapi tidak sampai lagi duduk serumah. Jadi tidak kena, kalau bandingkan kenapa baloh (gaduh) dengan DAP tidak dengan Umno,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Amar juga mengakui pengaruh kaum Cina yang memihak kepada Pas selama ini juga adalah disebabkan hubungan baik antara parti itu dengan DAP.
“Tetapi jangan kunci situ. Cina ramai juga yang tidak undi DAP, jangan ingat semua undi DAP, kalau tidak percaya boleh periksa,” katanya. SINAR HARIAN 17 JANUARI 2016

0 comments: