Janji Kemenangan PALESTIN

JANJI KEMENANGAN PALESTIN
Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita menyaksikan mukjizat Rasulullah SAW yang dinyatakan oleh sabdanya :

(Maksudnya) : Akan tetap ada dikalangan umatku kumpulan yang banggun menyatakan kebenaran (Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah. 
Para sahabat bertanya :

(Maksudnya) : Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah ?
Sabda Rasulullah SAW : 
.
(Maksudnya) : Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan di keliling Baitul Maqdis.
Setelah dunia Islam menyaksikan kejatuhan kerajaan Islam yang menjadi kuasa besar dunia, tanah air umat Islam ditakluk dan dijajah, dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa-kuasa penjajahan barat, umat Islam diperhambakan, hasil-hasil dari negeri umat Islam diangkut dan dipunggah, tanah air umat Islam dijadikan. Dalam masa yang sama diadakan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Balfour, perjanjian diantara kuasa besar British untuk menubuhkan negara Israel yang menjadi perjuangan orang Yahudi Zionis. Mereka mengimpikan untuk melaksanakan Negara kuasa besar dunia yang didakwa oleh mereka seperti Negara Nabi Sulaiman AS dan seterusnya meruntuhkan Masjidil al-Aqsa untuk didirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil besar Yahudi, kerajaan besar yang akan menakluk seluruh dunia. Negara-negara Arab yang berada di sekeliling mengecewakan. Mereka tunduk kepada kuasa penjajah, membenarkan tanah air mereka menjadi pengkalan kepada kuasa-kuasa penjajah yang menjadikan perlindungan kepada takhta dan kedudukan masing-masing.


Namun Allah SWT tidak memadamkan cahaya Islam di bumi Palestin. Bumi Palestin bukan seperti yang didakwa oleh orang-orang Yahudi adalah negeri orang-orang Yahudi. Bumi Palestin adalah bumi Islam, bumi Nabi-nabi, bumi Anbiya’ AS yang dibuka oleh Nabi Ibrahim AS. Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran :
 
(Maksud-Nya): bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang Yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.


Ini menunjukkan bahawa Palestin adalah bumi Islam. Sesiapa yang mengalih perjuangan Palestin atas nama kebangsaan atau kenegerian, maka menyeleweng dari asas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.


Kita menyaksikan negara-negara Arab yang membantu kumpulan-kumpulan nasionalis, kumpulan-kumpulan yang memisahkan agama daripada perjuangan Palestin, yang menjadikan perjuangan Palestin sebagai perjuangan tanah air dan bangsa, bukan perjuangan Islam yang ditetapkan oleh Allah telah gagal berpuluh-puluh tahun. Allah SWT juga menunjukkan kepada kita apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW, akan ada kumpulan yang menegakkan Islam di bumi Palestin, mereka tidak boleh dihapuskan oleh orang-orang yang menentang mereka walaupun menggunakan senjata yang paling canggih, sedangkan kumpulan yag bangkit itu hanya menggunakan batu sahaja. Mereka tidak boleh ditundukkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, samada daripada kalangan negara-negara Arab yang kaya yang lebih penting menjaga singggahsana dan astana serta kekayaan kekayaan masing-masing daripada perjuangan untuk menegakkan Islam. Untuk negara umat Islam yang tidak berani untuk mengislamkan perjuangan Palestin.


Allah SWT menunjukkan kepada kita, Yahudi dan kuasa-kuasa besar dunia yang melindungi Yahudi menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu. Namun segala-galanya tidak mampu memadamkan cahaya perjuangan Palestin.


Itulah janji Allah dan janji Rasulullah SAW. Percayalah, mereka yang mengecewakan perjuangan Palestin akan dihumbankan oleh Allah di dunia dan ke neraka di hari akhirat. Hari ini kita menyaksikan mereka yang mengecewakan perjuangan Palestin sedang berperang sesame sendiri, samada atas nama kebangsaan atau atas nama Islam dengan menggunakan kalimah Islam untuk menipu matlamat membinasakan Palestin. Percayalah, Allah akan memelihara Islam dengan golongan yang dijanjikan oleh Nabi SAW, kumpulan yang bangkit di Baitul Maqdis dan di keliling Baitul Maqdis. Itulah janji Allah SWT :

(Maksud-Nya) : Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

0 comments: