Pekeliling Pejabat Agung Bil 01/2016 : Keterlibatan Ahli PAS Dalam Program/Aktiviti Parti-Parti Politik Lain

PEKELILING PEJABAT AGUNG - BIL 01/2016
Keterlibatan Ahli PAS Dalam Program/Aktiviti Parti-Parti Politik Lain

 Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.
2. Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 27 Rabiul-awwal 1437 bersamaan 8 Januari 2016 telah membincangkan isu berkaitan keterlibatan Ahli-Ahli PAS dalam program dan kegiatan parti-parti politik lain khususnya Parti Amanah (PAN) dan DAP.
3. Sehubungan dengan itu, demi untuk memelihara keutuhan dan perpaduan parti serta mengelakkan pelanggaran Perlembagaan dan Arahan Parti, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat keputusan dan ketetapan seperti berikut:-
i. Ahli-ahli PAS dilarang mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama, memberi bantuan atau menyertai sebarang program atau aktiviti PAN dan DAP di semua peringkat;
ii. Ahli-ahli PAS perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri sebarang jemputan program/aktiviti politik dan seumpananya dari mana-mana parti politik lain (selain dari PAN dan DAP yang dilarang terus sebagaimana (i) di atas);
iii. Secara umumnya Ahli-ahli PAS diperingatkan supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dan/atau berlawanan terutamanya dengan Fasal 16 dan 82, Perlembagaan PAS.
Saudara/i dipinta dengan SEGERA menyampaikan Arahan ini kesemua peringkat Parti di bawah pentadbiran Saudara/i. Kerjasama dan perhatian semua pihak berkaitan bagi menjaga keutuhan parti amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Kathira.
Sekian dimaklumkan, wassalam.
Beristiqamah Hingga Kemenangan.

Takiyuddin Haji Hassan, JP.
Setiausaha Agung

0 comments: