Baru-baru ini ada laporan akhbar yang mengatakan Menteri Pelajaran Malaysia ingin menarik penajaan JPA untuk pelajar, dalam dan luar negara, berikutan krisis ekonomi yang melanda negara. Ini kerana JPA tidak lagi mampu untuk menanggung tajaan pelajar berkenaan. Maka, pelajar harus menanggung sendiri atau pulang ke Malaysia (bagi mereka yang berada di luar negara) untuk meneruskan pengajian mereka.
Dewan Ulama PAS Selangor berpandangan, pihak kerajaan perlu menyusun keutamaan dalam perbelanjaan mengurus negara, bukan terus memotong bantuan berkenaan. Sebagai contoh, projek pembangunan perlu ditangguhkan, gaji menteri dikurangkan, makanan mewah ditiadakan lagi, penjimatan dilakukan dan barulah memotong perbelanjaan pelajar. Sekiranya semua itu dilakukan, maka penarikan tajaan itu boleh dilakukan secara sedikit demi sedikit.
Kerajaan perlu meletakkan pelajaran sebagai keutamaan yang tinggi berbanding dengan perbelanjaan yang lain. Sekiranya pihak kerajaan menunjukkan sikap berjimat cermat dan para pemimpin pula sanggup berkorban untuk rakyat, maka rakyat tidak akan marah apabila tajaan ditarik. Tetapi kelemahan dan kepincangan UMNO dan BN dalam mengurus tidak boleh dijadikan sebab untuk menghukum pelajar. Sepatutnya, mereka menunjukkan sikap yang baik dan sanggup berkorban untuk rakyat.
Jadikan pandangan Imam Nawawi sebagai pengajaran apabila beliau diminta fatwa oleh Sultan al Malik al-Zahir atau Baibars (1260M - 1277 M) bagi mengharuskan Kerajaan Mamluk untuk mengutip cukai dari rakyat untuk membiayai jihad peperangan mempertahankan negara. Imam Nawawi berpandangan, cukai tidak boleh diambil melainkan setelah harta yang terdapat di istana ini digunakan untuk berjihad. Ini kerana harta berkenaan adalah harta rakyat.
Dengan ini, pendidikan merupakan antara jihad yang penting pada masa kini. Maka kerajaan perlu membuat penjimatan dalam perbelanjaan yang lain, barulah tajaan pelajar ini dikurangkan.
Ketua
Dewan Ulama PAS Selangor
Ustaz Rizuan Rahmat
24 Januari 2016
0 comments: