Penamatan EIO dan TSO Terengganu: 105 Pegawai EIO DAN TSO diberi kontrak baharu 6 bulan sahaja?



Penamatan EIO dan TSO Terengganu:

105 Pegawai EIO DAN TSO diberi kontrak baharu 6 bulan sahaja?


Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jaringan IT Prihatin (JITP) Malaysia gembira isu penamatan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) dan Pegawai Sokongan Teknikal (TSO) segera diselesaikan kerajaan Terengganu selepas kontrak tahunan mereka tamat pada 31hb Disember, 2015 yang lepas.

Selepas banyak pihak mempertikaikan tindakan kerajaan Terengganu dan anak syarikat milik penuhnya, Top IT menamatkan kontrak tersebut tanpa makluman lebih awal,  akhirnya Seramai 101  Pegawai Teknologi Maklumat (EIO)  dan 4 Juruteknik Komputer (TSO) diberi peluang ke dua dan diberi  kontrak baharu  oleh TOP IT selepas dua belas hari tarikh luput kontrak tahun 2015.

Dilaporkan, Pengerusi JawatanKuasa Transformasi Kerajaan , Komunikasi dan Multimedia Negeri A.Latiff Awang berkata, mereka  diberi kontrak lantikkan untuk tempoh percubaan selama enam bulan.

Masalah ini belum selesai lagi sepenuhnya, tetapi ini merupakan ‘interim’ yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak, majikan dan pekerja. Daripada ditamatkan begitu sahaja, setelah kontrak tamat walaupun telah bekerja sejak 6-7 tahun lepas, ada baiknya EIO dan TSO tersebut diberikan kontrak 6 bulan dahulu supaya penyesuaian dapat dilakukan.

Sebelum ini Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ,  Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) yang tidak ditawarkan kontrak baharu selepas  31 Disember 2015 boleh mengemukakan rayuan kepada TOP IT bagi dinilai semula prestasi semasa mereka.

Sebelum itu, saya sendiri diatas nama Pengerusi NGO JITP Malaysia ataupun diatas nama NGO Perantau ketika diminta mengulas isu ini memberikan kenyataan kepada beberapa media sebagai sokongan moral kiepada EIO dan TSO tersebut disamping mendesak kerajaan Terengganu khususnya kepada Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu supaya melihat isu ini dengan segera.

Kenyataan media tersebut ada disiarkan sebelum ini menyebut, Pertubuhan jaringan IT Prihatin Malaysia merasa kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu mengambil sikap drastic dan tergesa-gesa menamatkan khidmat Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) dan Pegawai Sokongan Teknikal (TSO).



Pengerusinya, Shuhaimi Embong berkata, pemberhentian yang dimaklumkan hanya melalui e-mel oleh anak syarikat kerajaan negeri TOP IT Industries secara mengejut adalah tidak wajar dan tidak professional.

Menurut beliau,  usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang dilakukan oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mewujudkan jawatan EIO/TSO yang ditempatkan disekolah-sekolah bagi menguruskan hal-hal berkaitan ICT adalah suatu langkah yang baik.

Katanya, “usaha ini memang satu usaha yang baik bila kerajaan negeri memperkenalkan program e-book di sekolah-sekolah negeri Terengganu,


“Isu EIO/TSO ini berbangkit semula bila kerajaan Negeri Terenganu dibawah Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membatalkan program e-book menyebabkan barangkali keperluan perjawatan tersebut terpaksa ditamatkan oleh Top IT yang mengendalikan program e-book,” katanya ketika dihubungi.


Beliau yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Top IT menggesa pengurusan Top IT mengambil tindakan sebarang tindakan menurut undang-undang sedia ada dengan memberikan hak pekerja-pekerja berkenaan dan menggunakan budi bicara berperikemanusiaan.

“mereka semua adalah manusia macam kita, undang-undang satu hal dan budi bicara perlu mendapat keutamaan pengurusan,

“apatah lagi beberapa bekas pegawai yang berkhidmat itu sudah mencurahkan bakti mereka…….apabila kita perlukan mereka kita tawarkan kerja dengan baik dan apabila kita tamatkannya, berilah ruang secukupnya untuk mereka bernafas,”jelasnya

Dalam masa yang sama, Shuhaimi Embong yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Anak Terenggan diPerantauan (Perantau) kesal dengan tindakan ‘undur ke belakang’ itu dan menggesa Dato’ Seri Ahmad Razif mengkaji semula tindakan tersebut.

Beliau menegaskan penamatan secara ‘tiba-tiba’ para pegawai terbabit tidak selari dengan slogan kerajaan ‘Transformasi Terengganu Baru’

“bila tindakan menamatkan pegawai-pegawai itu dibuat serta merta dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, menjadi perkara yang amat besar kepada mereka,

“dan kerajaan dibawah pimpinan Razif perlu berbesar hati, walaupun mungkin kecil bagi kerajaan, tetapi memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah membantu perlaksanaan dasar negeri adalah sesuatu yang mulia,”katanya.

Inilah kenyataan ringkas saya kepada media bila ditanya berhubung dengan isu tersebut. EIO/TSO ini rasanya hanya ada di Terengganu sahaja, dan tidak ada lagi ditempat-tempat lain.

Saya ada bercakap dengan EIO terbabit dan bertanyakan kerja EIO ini yang ditempatkan di sekolah-sekolah. Mereka bukan sahaja tertumpukan kepada ebook kerana yang bertugas di sekolah-sekolah menengah, diberitahu program ebook tidak mempunyai silibus yang tertentu tetapi mereka menjadi pemudahcara smart board dan kelas maya yang diadakan sebelum ini.

Malah ada yang diberikan tugas menjadi pentadbir laman web sekolah-sekolah berkenaan. Tugasan antara EIO dan TSO ini banyak bergantung kepada tempat mereka ditugaskan. Malah ada juga EIO yang melakukan kerja TSO, ditempat-tempat yang tiada TSO ditempatkan.

Secara peribadi, dari awal lagi perkara penamatan ini tidak sepatutnya menjadi isu sekiranya kaedah penyampaian yang baik dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dan juga majikan, Top IT dengan memberikan mesej yang jelas bila program ebook ditamatkan oleh kerajaan negeri.


Apa itu EIO dan TSO di Terengganu?

Dalam menjayakan program eBook dan Kelas Maya di Negeri Terengganu yang di perkenalkan mulai tahun 2009, EIO dan TSO telah memainkan peranannya dengan agak berkesan dalam membantu perlaksanaan program ini.Isu mengenai kerosakan eBook sehingga mengganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) oleh guru,murid menyalahgunakan kemudahan eBook yang dibekalkan dan sebagainya akan dapat ditangani dengan sewajarnya.

Jawatan ini diwujudkankan dengan matlamat diantaranya bagi membantu kerajaan dalam melahirkan generasi celik Teknologi Maklumat (IT) dan secara kolektifnya memastikan penggunaan sepenuhnya sumber tenaga kakitangan berkomputer.. Mengikut laporan Persatuan EIO & TSO yang sempat saya baca, terdapat lebih 500 graduan lulusan Diploma dan ijazah dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah diambil oleh kerajaan Negeri Terengganu bagi mengisi kekosongan jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) secara Kontrak di Sekolah-Sekolah dan Pelbagai Agensi yang berkaitan dengan pendidikan di seluruh negeri Terengganu sejak 2009.


Tugas mereka adalah;

      1.       Memantau dan Merekod Penggunaan eBook (EIO) dan Menyelenggara dan membaiki kerosakan eBook (TSO)
      
      2.       EIO dan TSO berperanan membaiki dan menyelenggara segala jenis kerosakan eBook sekaligus dapat membantu melancarkan proses PdP oleh guru di sekolah.

      3.       EIO dan TSO akan membuat jadual berkala bagi memantau dan merekod penggunaan eBook oleh murid sekaligus dapat mengelakkan sebarang aktiviti penyalahgunaan eBook.

      4.       Membantu Guru dalam menggunakan eBook untuk melaksanakan PdP

      5.       EIO dan TSO akan memberi khidmat bantu kepada guru dalam menggunakan eBook dan perkakasan ICT yang lain untuk proses PdP yang lebih berkesan.

      6.       Memberi latihan kepada Guru untuk menggunakan eBook

      7.       EIO dan TSO akan memberi latihan kepada guru terutamanya dalam melibatkan penggunaan eBook dan peralatan ICT yang lain untuk memberi lebih kefahaman kepada guru dalam mengendalikan peralatan tersebut.

      8.       Meningkatkan Literasi Digital di kalangan Murid Sekolah

      9.       EIO dan TSO memberi pendedahan kepada murid melalui pelbagai cara seperti membuat kelas komputer, menganjurkan pertandingan ICT peringkat sekolah,menubuhkan pasukan siber sekolah dan sebagainya bagi meningkatkan literasi digital bermula di peringkat sekolah rendah.

0 comments: