Pendidikan Tinggi Di Bawah Kerajaan Kelantan

PENDIDIKAN TINGGI DI BAWAH KERAJAAN NEGERI KELANTAN
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Kelantan di bawah pimpinan PAS juga telah menganjak kehadapan dengan menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965. Pusat pengajian tinggi Islam ini diletakkan dalam sebuah kampus yang pada asalnya ialah Istana Sultan Kelantan yang dinamakan Istana Nilam Puri. Ianya terletak 10 kilometer dari Kota Bharu. Pada tahun 1969, nama institusi pendidikan tinggi ini diganti namanya dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Halim Mohd Diah,1989 ).
Sewaktu pertama kali yayasan ini didirikan, ia hanya memiliki satu fakulti sahaja, iaitu Fakulti Syariah dan Undang-Undang (Kuliah As-Syariah Wal Qanun). Kemudian pada bulan Oktober 1966 dibuka pula Maahad Dakwah Wal Imamah (Maktab Dakwah dan Kepimpinan). Tujuan maktab ini ditubuhkan ialah untuk mendidik kader-kader dalam bidang dakwah dan kepimpinan masyarakat Islam. Di samping itu juga ia merupakan sekolah persediaan untuk memasuki fakulti. Kemudiannya Maahad ini ditutup dan diganti dengan al-Qismu At-Taujihi (bahagian persediaan) yang berfungsi sebagai sekolah persediaan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri.
Pada tahun 1971 dibuka pula Bahagian Pendidikan (Qismu Tarbiah). Tujuannya ialah, untuk melatih para bakal guru yang berkebolehan dan layak dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik. Kemudian pada tahun 1974, dibuka pula sebuah fakulti baru, iaitu Fakulti Usuluddin dan Kemasyarakatan. Yayasan ini berjalan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam dengan taraf sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Kelantan sehinggalah ia digabungkan ke dalam Universiti Malaya.
Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut memberikan perhatian kepada pusat pengajian tinggi dan peluang pengajian tinggi kepada anak-anak Kelantan. Di antara institusi pengajian tinggi yang telah ditubuhkan ialah Maahad Dakwah Wal Imamah di mana tujuan penubuhan maahad ini adalah bertujuan untuk merancakkan pendidikan tinggi Islam di Kelantan.
Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.
Penubuhan KIAS adalah lanjutan sejarah daripada penubuhan YPTIK yang telah ditubuhkan pada tahun 1965, di mana institusi ini menjadi Akademi Islam Universiti Malaya pada tahun 1981. Pada tahun 1994, Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Maahad Dakwah Wal Imamah dengan hasrat menggerakkan dan mewujudkan pengajian tinggi Islam di Kelantan. Maahad Dakwah akhirnya distrukturkan semula dengan mengambil kira perubahan-perubahan terkini yang berlaku dalam pendidikan tinggi di negara ini.
Pada tanggal 24 ogos 1999, KIAS telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Kelantan dan mula membina reputasi sebagai pusat pengajian yang menerima pelajar dari dalam dan luar negara. KIAS telah menyediakan pelbagai bidang pengajian seperti Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Dakwah wal al-Qiadah. Pada tahun 2002/2003, KIAS telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah sarjana Muda Usuluddin dengan kerjasama Universiti al-Azhar di Mesir, Jordan, Syria, dan Morocco. Juga melaksanakan kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah Kedah. Tenaga pengajarnya terdiri daripada mereka yang berpengalaman menjadi tenaga pensyarah di universiti tempatan seperti Dr. Johari Mat, Dr. Muhammad Daud, dan Dr. Bassit Abdul Rahman. Pelajar-pelajar KIAS juga berpeluang untuk menyambung pelajaran ke institusi lain di dalam dan luar negara.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

0 comments: