Pendoman Berumah Tangga

Keganasan: Jangan kaitkan Islam
Kuliah Mingguan PAGI JUMAAT
YB Parlimen Kuala Nerus
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Kitab:
1. Tafsir SURAH AL-NISA'; ayat 20-21
2. Hadis RIYAD SOLIHIN
3. Kitab Fiqh al-Mu'in al-Mubin 
Bab Muamalat


TAFSIR RINGKAS
Tafsir Ayat 20-21 Surah al-Nisa'
Maksudnya:"dan sekiranya kamu mahu menukar pasangan baru mengambil tempat pasangan lama sedangkan kamu telah mendatangkan kepada salah seorang mereka harta emas perak yang banyak (Qintar), maka janganlah kamu mengambil kembali sebarang harta emas itu. Adakah kamu mahu mengambilnya dengan cara tidak benar dan dosa yang nyata?"
Huraian
Islam tidak menggalakkan perceraian. Tetapi apabila seorang suami menceraikan isteri untuk digantikan dengan isteri yang baru, haram bagi suami mengambil kembali sebarang pemberian mas kahwin kepada isteri kerana ia merupakan hak isteri. Mengambilnya kembali adalah kelakuan batil dan perlakuan dosa yang nyata.
Ayat ini juga menjadi dalil keharusan memberikan mas kahwin yang mahal kepada isteri. "Qintar" dalam ayat di atas bermaksud harta yang banyak daripada emas dan perak.
Sebahagian ulamak antaranya Ibnu Abbas radiyallahu anha mentafsirkan Qintar sebanyak 1200 dinar (lebih kurang rm900k jika diambil kira 1 dinar lebih kurang rm750).
Muaz bin Jabal dan Ibnu Umar radiyallahu anhum mentafsirkan sebagai 1200 auqiyah. (1 auqiyah bersamaan 40 dirham perak. 1 dirham hari ini bersamaan lebih kurang rm20. 1200 auqiyah bersamaan lebih kurang rm960k).
Kedua-dua tafsiran diriwayatkan daripada Rasulullah saw.
Qintar asalnya merujuk kepada sukatan tertentu yang berbeza antara negara. Di Mesir, Qintar merujuk kepada sukatan 100 gantang atau 928.44 kilogram.
Sayyidina Umar pernah menegah para suami memberikan mas kahwin yang tinggi sebagaimana Hadis riwayat Abu Ya'la. Hujah beliau ialah bahawa Nabi saw tidak pernah memberi mas kahwin kepada isteri-isteri baginda melebihi 400 dirham (nilai semasa hari ini lebih kurang RM8k). Namun, seorang wanita Quraisy menegur Umar dan berhujah dengan ayat di atas. Umar bin al-Khattab lalu menarik semula pandangan beliau. Dalam satu riwayat Umar berkata "seorang wanita betul pandangannya dan seorang lelaki telah tersilap".
Hal ini menggambarkan ketakwaan dan tawaduk Umar bin al-Khattab yang menarik semula pandangan fiqhnya apabila mendengar hujah yang lebih kuat daripada al-Quran meskipun daripada seorang wanita yang tidak terkenal.
Maksudnya: " Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kamu telah berpadu (bersetubuh dan bergaul) antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil daripada kamu satu perjanjian yang berat ?"
Huraian
Kenapa haram bagi suami mengambil semula mas kahwin selepas bercerai? Hal ini kerana mas kahwin adalah hak isteri sebagai imbalan kehormatannya telah dinikmati oleh suaminya menerusi persetubuhan yang halal.
Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi saw telah memisahkan sepasang suami isteri yang telah melakukan Li'an (iaitu sumpah seorang suami yang mendakwa isterinya berzina sedangkan dirinya tidak mempunyai cukup saksi manakala isteri bersumpah bahawa suaminya berbohong dalam dakwaan tersebut). Setelah itu si suami meminta semula mas kahwin yang telah diberikan kepada isteri.
Baginda saw menegaskan: "tiada harta buat kamu kerana sekiranya kamu bercakap benar dalam dakwaan kamu bahawa isteri kamu berzina maka harta mas kahwin itu adalah imbalan kemaluan isteri yang telah kamu nikmati secara halal.."
Hak mas kahwin itu juga kerana para wanita telah menerima "akujanji yang berat" daripada suami apabila bersetuju dikahwini. Menurut Ibnu Abbas radiyallahu anhuma, akujanji berat itu ialah suami terus memegang isteri dengan cara yang makruf sebagaimana selayaknya atau melepaskan isteri dengan baik.
Menurut Anas bin Malik radiyallahu anhu pula, akujanji berat itu merujuk kepada sabda baginda saw: "kamu mengambil isteri kamu dengan amanah daripada Allah dan kamu halalkan kemaluannya untuk disetubuhi dengan kalimah Allah"
Dalam Hadis Sahih Muslim baginda berucap ketika Haji Wida' :

"Dan ambillah pesanan-pesanan baik dalam berurusan dengan para isteri kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kemaluan mereka (untuk disetubuhi) dengan kalimah Allah".
Sekian.
Disediakan oleh
Dato' Dr Khairuddin at-Takiri

0 comments: