Sediakan Elaun Sara Hidup Bulanan Kepada Mahasiswa


Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

SEDIAKAN ELAUN SARA HIDUP BULANAN KEPADA MAHASISWA

1. Menuntut ilmu dan pengetahuan adalah antara aktiviti yang diangkat kemuliaannya dalam Islam. Antaranya Allah s.w.t. berfirman :
"Allah mengangkat orang-orang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu beberapa darjat."
( Surah Mujadalah : 11 )
Hal ini kerana dengan ilmu dan pengetahuan seseorang individu boleh memajukan dirinya dan negara bergerak ke arah ketamadunan dan kemajuan.

2. Golongan mahasiswa merupakan golongan yang sedang berjihad menimba ilmu di institusi pengajian tinggi yang bakal menjadi peneraju ketamadunan bangsa dan negara. Maka selayaknya bagi mereka yang sedang berjihad ilmu ini dipermudahkan segala urusan mereka dan dibantu segala keperluan hidup mereka.

3. Merujuk kepada keluhan para mahasiswa mutakhir ini yang berhadapan dengan perbelanjaan harian yang tidak mencukupi khususnya dalam menghadapi krisis peningkatan kos hidup, suka untuk saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri menyediakan elaun sara hidup bulanan kepada golongan mahasiswa ini sekurang-kurangnya RM100 sebulan.

4. Oleh kerana tidak mempunyai perangkaan bagi 2015, saya merujuk kepada “Perangkaan Pendidikan Negara : Sektor Pengajian Tinggi 2013” dan ia merekodkan terdapat seramai 531,533 orang mahasiswa warga Malaysia di Universiti Awam (Institut Pengajian Tinggi Awam) di negara ini.

5. Dengan nilai tersebut, jumlah yang perlu diperuntukkan oleh Kerajaan hanyalah RM0.6 bilion (RM637.8 juta) setahun – bahkan jumlahnya adalah lebih sedikit jika hanya diperuntukkan untuk mahasiswa peringkat sarjana muda dan diploma. Jumlah ini tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan pelbagai perbelanjaan yang tidak efektif dan pembaziran oleh Kerajaan yang boleh dilihat menerusi Laporan Ketua Audit Negara.

6. Elaun sara hidup ini adalah sebagai tambahan kepada dana pendidikan yang mereka perolehi ketika ini sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman bagi membiayai kos pendidikan tinggi mereka.

7. Mekanisma pengagihan elauan tersebut boleh dilakukan dengan dikreditkan terus amaun itu ke akaun setiap pelajar pada setiap hujung bulan.

8. Adapun sumber bagi elaun ini boleh diusahakan menerusi penubuhan "Tabung Sara Hidup Mahasiswa" yang perlu dilancarkan segera dengan kerjasama syarikat-syarikat milik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, syarikat-syarikat korporat, yayasan-yayasan kebajikan, persatuan kebajikan serta masyarakat awam yang prihatin.

9. Konsep kerjasama berkebajikan ini boleh diambil inspirasi menerusi pujian Rasulullah s.a.w. kepada kaum kerabat Asy'ari :
"Sesungguhnya kaum kerabat Asy'ari apabila mereka kehabisan bekalan dalam peperangan atau berkurangan bekalan makanan keluarga mereka di Madinah, mereka menghimpunkan saki baki apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka mengagihkannya semula di kalangan mereka dalam satu bekas sama rata. Maka mereka adalah sebahagian daripada saya dan saya adalah sebahagian mereka."
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

10. Jika program-program berbentuk hiburan, kebudayaan atau sukan pun ada yang sanggup memberikan penajaan sehingga mencecah jutaan Ringgit, saya yakin dan percaya akan ada juga yang sudi memberikan penajaan kepada golongan mahasiswa ini yang merupakan aset penting negara dan untuk meraih ganjaran yang lebih besar di sisi Allah s.w.t.
Sekian.
“Membina Malaysia Sejahtera”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI


Selasa, 12 Januari 2016 | 2 Rabi’ul Akhir 1437 H
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

0 comments: