TPPA: Parlimen jadi 'rubber stamp' bukan majoriti rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan kesal apabila Persidangan Parlimen dijadikan 'rubber stamp' untuk melaksanakan hasrat kerajaan untuk meluluskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau ketika berucap pada Persidangan Khas Parlimen hari ini turut menggesa agar kerajaan mengambil kira suara rakyat terutama dalam isu TPPA kerana rakyat akan lebih terkesan jika perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya.

"Secara tersurat sidang parlimen ini hanya sebagai 'rubber stamp' untuk melaksanakan hasrat kerajaan dalam isu TPPA.
"Walaupun kita tahu kerajaan mendapat undian majoriti tapi itu sebenarnya tidak menzahirkan sokongan rakyat, kerana majorit rakyat menolak TPPA," ucap beliau.

Ketua Whip Parlimen PAS itu menggesa agar kerajaan mengambil suara rakyat sebagai satu resolusi tentang persetujuan atau tidak pelaksanaan perjanjian ini.

"Kita hendak masuk dalam perjanjian yang besar ia perlu persetujuan rakyat, saya hairan kenapa kerajaan tidak sabar dan tergesa-gesa untuk menyertai TPPA sedangkan kita sendiri tidak mengetahui kedudukan Malaysia selepas tandatangan perjanjian tersebut.

"Kerajaan perlu ambil ikhtibar daripada suara-suara rakyat dan hujah yang kita utarakan ini, perlu dinilai sebelum sertai TPPA," ucap beliau lagi.

Takiyuddin yang turut meminta kerajaan menjelaskan tentang penglibatan Peguam Negara dalam perbincangan draf perjanjian tersebut.

"Kalau Amerika menggunakan barisan peguam mereka yang bertaraf antarabangsa untuk berbincang dalam draf perjanjian tersebut, bagaimana pula Malaysia.

"Adakah ada penglibatan Peguam Negara, sehingga sekarang tidak ada kenyataan daripada Peguam Negara dalam isu TPPA?
"Peranan mereka perlu bagi memastikan ia tidak memberi impak yang buruk kepada negara," ujarnya yang juga Setiausaha Agung PAS.
Tambah beliau lagi, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa Malaysia tidak menjadi mangsa disaman oleh negara-negara lain serta dapat melindungi syarikat-syarikat di dalam negara.

"Mewakili kerajaan Kelantan, sehingga sekarang tidak ada sebarang perbincangan dilakukan dan apabila dihubungi Kementerian Penerangan tentang TPPA hanya akan diadakan selepas persidangan parlimen ini.

"Apa jaminan kita belum pasti, mewakili PAS kita tidak bersama untuk menyokong TPPA dan gesa kerajaan mencari pilihan lain untuk memperkasakan ekonomi negara.

"Saya juga bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Marang untuk melaksanakan Satu Asean atau pun Satu Ummah dalam mengembangkan ekonomi negara dengan negara-negara jiran," sambung beliau lagi. –HARAKAHDAILY 27/1/2016

0 comments: