KUALA TERENGGANU – Negara Malaysia yang kini menghadapi pelbagai masalah perlu ditukar sistem dan dasarnya kerana pertukaran pemimpin sebelum ini tidak membawa sebarang kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, PAS yang telah memerintah negeri Kelantan selama 26 tahun terbukti bebas dari rasuah.
“Dulu kita kata Mahathir rosak………minta tukar, kemudian tukar dengan Pak Lah. Kemudian kita kata pula Pak Lah rosak dan kena tukar. Kemudian kita tukar dengan Najib. Sekarang kita kata Najib rosak………..Nak tukar dengan siapa?
“(dengan) Zahid? Muhyiddin? Anwar? Lim Kit Siang??
“Sebenarnya yang menjadikan mereka rosak ialah sistem pemerintahan dan dasar pentadbiran yang mereka imani. Maka penyelesaiannya bukan tukar orang tetapi tukar dasar dan sistem,”ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS menegaskan sistem terbaik ialah sistem pemerintahn Islam.
“Sudah 26 tahun PAS memerintah kelantan dengan dasar Islam belum ada satu kes rasuah direkodkan melibatkan kepimpinan tertinggi PAS,”jelasnya.
Oleh itu, beliau berkata, PAS mahu menukarkan dasar pemerintahan kepada Islam melalui pilihanraya dan sekiranya ia belum berjaya, harus dimanfaatkan tempoh sementara menunggu pilihanraya dengan menegur para pemimpin.
“Kita (PAS) nak tukar dasar pemerintahan kepada Islam ketika pilihanraya berlangsung.
“Sekiranya tidak berjaya kita manfaat tempoh sementara pilihanraya dengan berdakwah, menegur, menasihati, mencegah dan melarang pemimpin memerintah tidak berdasarkan Islam dan memberi cadangan alternatif Islam,”kata beliau.
Beliau menegaskan, GST adalah sistem cukai zalim yang tidak berdasarkan Islam dan pemimpin negara berbelanja secara boros sehingga mencipta hutang kerajaan sebanyak RM 624 bilion, kerana tidak berdasarkan Islam.
Katanya, masalah ekonomi negara tidak selesai sejak 18 tahun yang lalu dan pembentangan bajet defisit sejak itu secara berturut-turut, adalah tidak mengikut kaedah bajet dalam Islam.
Beliau berkata, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang cuba dilaksanakan oleh kerajaan adalah bercanggah dengan dasar-dasar antarabangsa menurut Islam.
“Rundingan perdagangan antarabangsa yang mengikat dan tidak boleh difasakhkan serta boleh mengancam kedaulatan negara adalah bercanggah dengan roh perjanjian antarabangsa dalam Islam.
“Persaingan bebas antara ‘gergasi dan kancil’ dalam ekonomi liberal adalah tidak berdasarkan Islam,” katanya.
0 comments: