GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MAZHAB


GERAKAN ISLAM DAN HUBUNGANNYA DENGAN MAZHAB

Semua gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu para ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada Ahli al-Islam atau pun Ahli Al Qiblah.
Pelopor gerakan tajdid zaman penjajahan, Jamaluddin Al Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung dengan muridnya Muhammad Abduh memainkan peranan di awal abad yang lalu bersama dengan Ayatullah Al Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan Al Banna, Abul ‘Aala Maududi, Nawwab Sofawai dan lain-lain.
PAS juga bersama menyambung dalam usaha ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan antarabangsa. Hasan Al Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi dihukum bunuh di Iran. Dua tokoh Al Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh iaitu Shaikh Mustafa Al Maraghi dan Mahmud Syaltut melibatkan diri dalam usaha taqrib.
Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar di-kuasai oleh kerajaan Mesir.
Al Marhum Dr Said Ramadan Al Misri (S/U Ikhwan Muslimin) menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan ribu di kedutaan Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman mati ditali gantung.

Gerakan Ikhwan Al Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh yang besar, apabila beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa Parsi, di antara penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik menjadi Imam selepas Al Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa membatalkan beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati mencela para sahabat dan Umahat Al Mukminin R.A.
Satu pendedahan diawal revolusinya berlaku perang teluk yang belum selesai sehingga kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan lebih lapan puluh orang pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan Islam, diantaranya ialah Ayatullah Bahasyti.
Walau pun mereka boleh bertahan, namun mereka berdepan dengan para ulama fanatik mazhab yang masih ramai dalam masyarakat yang bertindak secara negatif menyebarkan mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, disamping negara Arab Sunni berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan persaudaraan seagama, sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar barat yang menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara ini sangat rapat dengan Iran di zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat kepada Barat.
Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan Islam di Sudan, terhadap Ghazzah , terkini di Mesir, Tunisia, dan lain-lain, sangat menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha menghalang munculnya Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam. Apa yang tidak boleh dilakukan oleh Iran walau pun sudah menunjukkan arah menjadi kuasa besar dunia.
Sikapnya memutuskan hubungan dengan Israel dan membatalkan pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan Shah dahulu dan keberanian membantu Hamas, dan Tanzim Jihad bukan sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh Negara Arab Sunni sangat memalukan .
Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan Israel telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang dianggap oleh Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan penyelamat kepada penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini dapat menghapuskan pengkalan Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam Sunni), pengkalan hadapan secara lansung dengan Israel yang tidak dibenarkan disemua Negara Arab, kecuali Yaman, Sudan, Algeria, Qatar dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata menentang Israel disebelah utara, di mana bukan hanya melibatkan Hizbullah daripada Syiah.

PETA BARU DUNIA ISLAM
Di awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, di mana peranan mazhab di masa itu tidak besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor mazhab dan berbagai kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam dijadikan faktor membentuk peta baru asia barat dan akhirnya melibatkan dunia Islam. Tujuannya ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan hadapan dalam pertembungan dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap sumber pembekal tenaga dan perjalanan antarabangsa.
Pemetaan dicadangkan supaya Selatan Mesir (So’eid) di-pecahkan kepada kaum yang rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang dipisahkan daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar (amazigh). Syria , Iraq, dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah, Alawi, Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga Saudi, Iran, Negara Teluk dan Yaman.
Usaha melumpuhkan ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya melumpuhkan Pakistan dan Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman, dilagakan pula Saudi dan Iran secara pertembungan mazahab. Peperangan boleh dilakukan secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata dikalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan peperangan sesama sendiri .

PENUTUP
Perpecahan mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang kemaraan dakwah dan futuhat Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat yang tulin dapat membezakan di antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga tidak dihabiskan oleh pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud , tetapi kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini digugat dengan perkara mazhab sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh para ulama dan pemimpin yang insaf.
Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat sepatutnya dapat diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan teknologi maklumat terkini.
PAS sendiri sehingga kini berjaya menapis segala anasir fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan kedalam PAS atau menggangu perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan sendiri atau dipecat.

Akhirnya bacalah firman Allah :

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106 ) الكهف.
103. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

104. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

105. merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

106. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.


Presiden PAS
14 Mac 2014

-------------------------------------------------------------------------

Petikan ini diambil dari Kertas Kerja Presiden PAS yang dibentangkan di Seminar Pemerkasaan Aqidah di UNISEL, Shah Alam pada 14 Mac 2014.
Semoga memberi sedikit pencerahan dalam polemik mazhab dan masalah khilafiah.
Kertas kerja penuh boleh baca di sini:

0 comments: