Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Tokoh besar tidak dicetak sebagaimana mudahnya kita memasak mee segera berperisa tomyam. Sosok hebat tidak muncul daripada selimut tebal dan tilam yang empuk, juga tidak insan berhati tisu yang jiwanya rapuh. Ikon perjuangan lahir daripada hamparan mehnah dan ibtila’, muncul daripada rahim pergulatan yang memeritkan, mendapat dokongan ummah kerana keluarbiasaannya memacu perjuangan. Pakej ini dimiliki oleh Hassan al Banna yang kita ingati setiap tanggal 12 Februari.
Denyut nadi gelombang kebangkitan Islam di seluruh dunia, terutama di Asia Barat yang hangat sering mencuri perhatian di negara ini. Kebangkitan Islam adalah melalui tahapan sejarah yang panjang serta berwarna-warni, seawal pasca Perang Arab Israel 1967. Maka wajar untuk kita menyusuri dengan mendalam sejarah perlawanan bangsa Mesir dan tokoh besar yang telah mewarnai bumi anbiya’ ini. Bersesuaian dengan bulan Februari di mana tokoh besar dunia telah mati dibunuh dengan kejam pada 12 Februari 1949, maestro dakwah dan harakah ini telah menyalakan lantera pencerahan kepada umat setelah kejatuhan Khilafah Islam pada Mac 1924.
Tokoh besar pejuangan Islam ini yang telah membina dan mewariskan pemikiran dan perjuangan yang besar sehingga tersebar ke seluruh belahan dunia, Timur mahupun Barat. Hassan al-Banna telah menempatkan dirinya sebagai simbol kebangkitan umat pada zaman moden, sekaligus sebagai pemimpin harakatul dakwah pada abad ke-20. Tidak terhenti setakat itu, Hassan al-Banna mempunyai pakej kepimpinan yang wajar diteladani oleh pewaris dakwah masa kini terutama dalam gelombang serangan pemikiran salibis-imperialis, neo-liberal dan kelompok ekstremis sekular. Ahzab moden seluruhnya telah bersatu untuk memerangi Islam dan umatnya.
0 comments: