PAS Selangor melihat tindakan Kerajaan Pusat untuk membawa masuk pekerja asing sebagai tindakan bermotifkan politik.
Ekonomi negara kini berada di ambang kehancuran di mana keyakinan pelabur asing berada di tahap terendah dan sistem kerajaan yang dilihat sebagai korup dan bermasalah. Di dalam keadaan negara memerlukan “net inflow of investment”, membawa masuk 1.5 juta pekerja asing hanya akan menyebabkan aliran keluar matawang ringgit daripada negara ini. Tambahan pula, sehingga kini, kerajaan belum mengenalpasti industri-industri dan syarikat-syarikat yang akan mengambil pekerja-pekerja tersebut.
Dengan terlaksananya Perjanjian TPP, keadaan akan lebih mudharat di mana pekerja tempatan kemungkinan akan diganti oleh pekerja asing. Kadar pengangguran akan meningkat dan akhirnya rakyat yang akan menderita. PAS Selangor amat bimbang bahawa impak terbesar akan dirasai oleh pekerja tempatan di Selangor kerana banyak industry perkilangan serta projek-projek infrastruktur tertumpu di Lembah Klang.
Selain kehilangan pekerjaan, PAS Selangor bimbang bahawa kehidupan rakyat Selangor terjejas dengan peningkatan kadar jenayah dan masalah sosial yang dilakukan oleh warga asing. Kehidupan rakyat Selangor sudah kian dihimpit kos kenaikan harga barang dan pengurusan ekonomi yang celaru, kini mereka bakal berhadapan dengan masalah-masalah social yang akan mengganggu ketenteraman mereka.
Melihat kepada kesemua unsur ini, PAS Selangor merasakan bahawa agenda sebenar Kerajaan UMNO/BN adalah untuk menjadikan pekerja-pekerja asing ini sebagai pengundi hantu dan seterusnya mengekalkan kuasa mereka di dalam pilihanraya akan datang. Sekiranya inilah perancangan mereka, PAS Selangor mencela sikap “menjual negara” ini demi kerakusan kuasa politik dan wang.
PAS Selangor menyeru seluruh rakyat Selangor dan Malaysia amnya, untuk bangkit dan menentang polisi ini. Sekiranya UMNO/BN meneruskan agenda ini, maka kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak UMNO/BN secara total di dalam Pilihanraya Umum ke 14.
Mohd Prasad bin Hanif
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor
0 comments: