Kompleks Al-Makmur perlu RM2 juta lagi

TEMERLOH: PAS Pahang melalui pelbagai sumber telah menghabiskan kira-kira RM2 juta untuk Kompleks Al-Makmur Kerdau sehingga ke peringkat akhir bagi fasa satu ini.
Bendahari PAS Pahang yang juga pengarah projek kompleks berkenaan Musaniff Abdul Rahman berkata, untuk itu bangunan mengandungi pusat pentadbiran, tarbiyah dan dewan berhimpun PAS Pahang itu memerlukan kira-kira RM2 juta lagi untuk disempurnakan.
Katanya, pada masa ini kerja-kerja ditumpukan kepada pemasangan atap konkrit yang telah 80 peratus siap.
Manakala bagi kerja-kerja lantai hanya tinggal sentuhan akhir bagi dewan dua tingkat berkeluasan 22,464 kaki persegi yang apabila siap mampu menempatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.
“Lebih cepat siap lebih baik agar boleh diadakan program peringkat pusat yang lebih besar lagi seterusnya dapat menjadi tapak Muktamar Agung PAS pada masa akan datang,” katanya.
Baru-baru ini telah diadakan program Pelancaran NGO Generasi Peringkat Kebangsaan dengan dirasmikan sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Musaniff berkata, kompleks ini dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
“Jika tiada kekangan dan dan kewangan, pembinaan dewan kompleks ini mampu disiapkan sebelum penghujung tahun ini sekali gus PAS Pahang boleh menawarkan diri menjadi tuan rumah muktamar pusat untuk julung-julung kalinya di negeri ini,” ujarnya.
Musaniff dalam pada itu berkata, idea pembinaan Kompleks Al-Makmur dicetuskan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjadi Pesuruhjaya memandangkan kebanyakan PAS negeri-negeri lain sudah memiliki kompleks sendiri sehingga mampu diadakan Muktamar Agung Tahunan.
“Kebetulan PAS Pahang mempunyai tanah yang diwakafkan ahli seluas lima ekar yang berkedudukan amat strategik di simpang empat Kerdau di pinggir jalan besar Temerloh-Jerantut dan hanya lima minit perjalanan keluar dari Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
“Lokasi yang boleh dikatakan berada di tengah-tengah Semenanjung ini juga mempunyai kawasan parkir dan tanah lapang yang luas dan dikelilingi pembangunan.

“Walau bagaimanapun, PAS Pahang masih amat memerlukan sumbangan dan infak daripada semua pihak bagi menjayakan cita-cita besar ini,” rayunya.

Tawaran ini dibuka kepada sesiapa yang sudi menghulur derma sebagai tukaran mendapat pahala sedekah jariah dan pelaburan saham akhirat.

Bagi yang berhasrat menyahutnya, bolehlah memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama Pembangunan Kompleks Al Makmur.

Sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat PAS Pahang 09 2965143.

0 comments: