
Kenyataan Media
Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang
16 hb Februari 2016
KONGRES RAKYAT AKAN MEMBAHAS NASIB RAKYAT DALAM
PEMBANGUNAN NEGERI PULAU PINANG.
Sekretarit Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang akan mengadakan persidangannya pada
21 hb Februari 2016 di Yayasan An Nahdhah, Kubang Semang, Bukit Mertajam.
Kongres ini adalah lanjutan dari Kongres Rakyat peringkat Nasional yang telah diadakan pada bulan Disember 2015 yang lalu di Shah Alam.
Matlamat Kongres Rakyat Pulau Pinang adalah untuk memberi peluang kepada wakil Ngo dan komuniti di negeri ini menyuarakan pelbagai isu yang dihadapi rakyat serta mencadangkan tindakan yang perlu diambil oleh pihak kerajaan negeri dan pusat.
Kongres ini dilaksanakan sebagai sebuah inisiatif bagi membangkitkan suara rakyat untuk diketengahkan kepada pihak kerajaan dengan tujuan agar rintihan rakyat yang disuarakan diberi perhatian, demi menjaga kebajikan rakyat yang semakin terhimpit.
Dalam keadaan rakyat di negeri Pulau Pinang khususnya dan rakyat Malaysia amnya berhadapan dengan sejumlah masalah yang semakin rumit, Kongres Rakyat akan menjadi medan perbahasan untuk mengenengahkan suara rakyat di negeri ini.
Antara isu utama yang akan menjadi tumpuan Kongres ialah :
@ kos sara hidup yang meningkat,
@ sistem percukaian GST yang membebankan,
@ peningkatan pengangguran dan peluang pekerjaan yang terbatas,
@ kos kesihatan dan pendidikan yang terus melambung,
@ kebanjiran pekerja asing yang semakin meningkat,
@ pembangunan perumahan mewah yang menghakiskan hakmilik rakyat tempatan,
@ pembangunan perumahan diluar kemampuan rakyat yang semakin ketara,
@ nasib kehidupan komuniti nelayan, perniaga kecil, petani, buruh yang semakin terhimpit akibat projek pembangunan yang tidak lestari alam,
@ ekonomi kaum bumiputera yang di Pulau Pinang yang tidak terbela,
@ gejala sosial dan keselamatan awam yang terus berleluasa,
@ pengambilan tanah dan projek pembangunan yang menjejaskan kehidupan golongan perpendapatan rendah serta kebajikan mereka tidak disantuni,
@ kualiti alam sekitar yang terjejas akibat projek pembangunan yang rakus,
@ institusi Islam yang tidak berkesan membangunkan sosio ekonomi umat Islam,
@ impak TPPA yang bakal memberi kesan kepada kedaulatan dan daya bersaing rakyat Pulau Pinang.
Semua isu di atas memberi dorongan kuat untuk kami mengambil inisiatif menganjurkan Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang.
Kongres ini akan menghadirkan sekitar 500 orang yang terdiri dari wakil-wakil Ngo, agensi kerajaan, wakil rakyat, komuniti, tokoh masyarakat, mahasiswa, ahli professional, ahli akademik, ulama serta wakil parti politik negeri Pulau Pinang.
Kongres ini akan menampilkan sekitar 12 pembicara dari wakil Ngo dan komuniti yang akan membentang isu dan usul dalam sektor yang telah dikenali pasti termasuk kos sara hidup dan kebajikan, pendidikan, nelayan, pekerja industri, wanita, peniaga kecil, peneroka tanah, petani, sekolah agama rakyat, agama dan sosio-budaya dan isu keharmonian antara kaum.
Kami mengambil perhatian pelbagai isu yang sedang dihadapi rakyat Pulau Pinang terutama dikalangan golongan berpendapatan rendah perlu diketengahkan jika negeri ini mahu dibangunkan sebagai negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Pembangunan yang pesat berjalan di Pulau Pinang terutama di pulau mendedahkan rakyat kepada pelbagai masalah apabila kos hidup serta jurang kaya-miskin menekan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Kongres Rakyat khususnya akan memberi penekanan kepada persoalan tanah dikawasan desa yang berpindah milik tanpa kawalan sehingga tanah milik bumiputera terhakis akibat pembangunan yang tidak mengambilkira keseimbangan dan nasib masa depan kaum bumiputera.
Kongres Rakyat ini akan menghasil sebuah Deklarasi dan Pelan Tindakan Rakyat untuk diketengahkan kepada pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Penasihat Kongres Rakyat Pulau Pinang
0 comments: