Lambakan pekerja asing undang mudarat ekonomi - Iskandar


JUHANI RAHMAN | 16 Februari 2016.
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan Umno/BN mengambil 1.5 juta pekerja asing dariBangladesh untuk bekerja dalam negara dikhuatiri akan mengancam kedaulatan ekonomi serta mengundang risiko keselamatan.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sikap kerajaan yang terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing bakal meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil.

Mengambil contoh sektor perladangan dan pembinaan yang bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing, Iskandar berkata, keadaan boleh bertukar gawat jika semua pekerja itu dihantar pulang ke negara masing-masing atas sebab tertentu.

"Ini bermakna negara kita boleh diugut oleh negara-negara asing. Ekonomi negara kita dengan mudah boleh disabotaj oleh negara-negara itu.
"Kita pada hakikatnya akan hilang kedaulatan ekonomi(economic sovereignity)," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor tersebut turut bimbang dengan masalah sosial yang berpunca dari pekerja asing yang tinggal bersama penduduk tempatan.

Selain terpaksa berkongsi kemudahan awam seperti padang bola sepak, penduduk juga akan berdepan persaingan perniagaan dengan kedai runcit yang dibuka oleh pendatang asing itu.

"Oleh sebab jumlah mereka yang ramai maka lama-kelamaan penduduk tempatan terpaksa mengalah dan berpindah keluar.
"Ini berlaku di banyak kawasan di Selangor di mana penduduk tempatan takut hendak masuk atau tinggal," ujarnya.
Adun Chempaka itu mendesak kerajaan segera bertindak bijak dengan mengehadkan pengambilan pekerja asing dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini dengan gaji munasabah.

"Masih ramairakyat tempatan yang memerlukan pekerjaan. Kami kerap didatangi oleh mereka yg memohon bantuan kerana tidak ada kerja atau tidak ada kerja tetap untuk membayar bil elektrik atau membelisusu untuk anak kecil.

"Majikan memang mahukan pekerja asing sebab gaji mereka lebih murah. Memang inisikap para kapitalis yang mahu untung berlipat ganda," katanya.

Beliau turut mencadangkan, selain pengambilan pekerja asing dikawal, mereka juga ditetapkan tempat tinggal, tempat membeli-belah dan bersosial. - HARAKAHDAILY 16/2/2016

0 comments: