PAS Menyokong Penuh Usaha Membantah DLP

KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan seolah-olah tidak serik dengan kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) PPSMI, apabila bertindak melaksanakan program baru iaitu Program Dwi Bahasa (DLP) pada awal tahun ini.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata program DLP ini dilihat seolah-olah mirip kepada dasar PPSMI yang mendapat tentangan hebat di kalangan tokoh-tokoh bahasa sehingga ia dimansuhkan pada tahun 2012.

Katanya, dengan kegagalan pelaksanaan dasar PPSMI kerajaan bukan sahaja rugi berbilion ringgit bahkan masa dan tenaga guru serta pelajar sekolah.

"Kerajaan akui PPSMI gagal. Seramai 70 orang profesor menentang pelaksanaan PPSMI, sebanyak RM6 bilion kerajaan rugi. Tiba-tiba hendak tubuh DLP pula," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut mempersoalkan apa motif sebenar kerajaan untuk melaksanakan DLP ini, sama ada untuk menyelesaikan masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar atau mengejar keuntungan semata-mata.

"Jika ada masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sepatutnya kerajaan kena mencari kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris yang baik. Bukannya merosakkan sistem yang kita bina melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini," jelasnya.

Katanya, rakyat Malaysia bukannya anti bahasa asing bahkan agama Islam sendiri menggalakkan belajar banyak bahasa tetapi jangan mengenepikan bahasa ibunda.

Bagi Idris, untuk mendapatkan ilmu pengetahuan haruslah bermula dengan bahasa ibunda yang menunjukkan bahasa jiwa bangsa penuh dengan nilai budaya masyarakat sekeliling.

"Kita tidak ada masalah dalam menterjemahkan bahasa teknologi ke bahasa Malaysia kerana kita ada Dewan Bahasa Dan Pustaka. Pelajar-pelajar UKM buat PHD di luar negara mereka pun tidak ada masalah," ujarnya.

Justeru katanya yang tidak menolak program DLP ini lebih memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat penerbitan dan percetakan.

Beliau juga turut serta berdemonstrasi di Pelancaran Kempen Mansuhkan DLP yang dianjurkan oleh Ngo Pejuang Bahasa yang terdiri sasterawan negara dan tokoh bahasa, di hadapan Sogo hari ini. Turut serta dalam kempen itu Pesuruhjaya PAS Wilayah Kamaruzaman Mohamad.

DLP akan diperkenalkan di sekolah yang bersedia melaksanakannya dengan persetujuan pihak tertentu termasuk sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Pada pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan DLP itu akan ditawarkan kepada 300 sekolah di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penggunaan Bahasa Inggeris.

Di bawah program itu, sekolah akan diberi pilihan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 dan Tahun 4. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

0 comments: