PAS mengambil inisiatif membawa pendekatan memberi penerangan kepada semua sasaran dakwah mereka termasuk yang bukan Islam bagi menangani pelbagai isu.
Bagi melaksanakan hasrat tersebut, satu program khas Dialog Rakyat Bersama Pemimpin PAS akan diadakan pada Sabtu ini bermula 8.30 pagi hingga dua petang bertempat di Dewan Sri Sanggang Hotel Sri Malaysia, Jalan Teluk Sisek di sini.
Pengarah program yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, tajuk dialog tersebut ialah ‘Jaminan Sosial Islam Untuk Masyarakat Bukan Islam’.
“Dialog tersebut bertujuan memberi ruang yang seluas-luasnya kepada semua untuk memahami pendekatan dan hala tuju PAS dengan berdialog secara terus dengan pemimpin tertinggi parti.
“Antara yang hadir dan terlibat ialah Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali serta Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Adun Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abdul Jabar,” ujarnya.
Andansura yang juga Adun Beserah berkata, segala permasalahan, kemusykilan dan keraguan boleh dikemukakan dan bakal mendapat penjelasan secara langsung daripada pimpinan tertinggi parti.
“Dengan usaha yang dianjurkan oleh Lajnah Dakwah PAS Pahang dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Beserah ini diharapkan segala keraguan tentang Islam dan perjuangan PAS akan terungkai apabila mendapat kepastian daripada pihak berautoriti dan tidak dirujuk kepada sumber yang tidak sahih,” jelasnya.
Dalam pada itu Andansura mengharapkan semua ahli dan penyokong PAS agar dapat memujuk rakan-rakan bukan Islam mereka untuk hadir bersama menyertai program ini.
0 comments: