PAS SABAH kesal mangsa kebakaran Kg Lupak Meluas tidak dibela

PAS SABAH KESAL MANGSA KEBAKARAN KG. LUPAK MELUAS TIDAK DIBELA

BATU SAPI, 23 FEB 2016 : Hampir sebulan sejak kebakaran yang berlaku di Kg Lupak Meluas di sini namun sebahagian mangsa masih belum dapat tempat tinggal yang sempurna sementara yang lainnya masih menumpang di rumah keluarga masing-masing.
PAS Sabah amat dukacita atas perkembangan yang berlaku ini dan mendesak wakil rakyat Dun Sekong, Datuk Samsudin dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen bertindak segera mengatasi masalah ini.
Berucap ketika menyampaikan kelengkapan solat pada program ziarah di lokasi mangsa pagi tadi, YDP PAS Sandakan merangkap AJK Badan Perhubungan PAS Sabah, Sahar Majid menegaskan bahawa pihak kerajaan seharusnya peka dan bertindak proaktif dalam mengatasi masalah rakyat ini.
"Apabila menjadi kerajaan, kita seharusnya turut merasakan penderitaan apabila rakyat ditimpa musibah seperti ini bukannya goyang kaki tidak melakukan apa-apa," kata Sahar lagi.
"Tindakan drastik perlu diambil oleh kerajaan yang memerintah. Sekiranya tidak dapat memberikan PPRT Batu Sapi ini sebagai penempatan kekal mangsa, mereka sepatutnya berusaha mencari alternatif lain sebagai tempat tinggal mereka," tambah Sahar lagi.
Misi kali ini turut disertai oleh Ust Razali Mohamad yang merupakan Ketua Lajnah Tarbiyyah PAS Sabah. Beliau mengingatkan kepada mangsa bahawa musibah yang menimpa mereka ini adalah sebagai tanda Allah menyayangi mereka dan perlu dihadapi dengan sabar.
Mangsa yang ditemui turut berdukacita dengan perkembangan yang berlaku apabila tidak ada pembelaan yang jelas daripada kerajaan Umno - Bn. Hanya bantuan-bantuan kecil yang diterima dan mereka tidak sewajarnya diperlakukan begini memandangkan mereka juga adalah pengundi tegar Umno - Bn.

0 comments: