Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
IPOH: Berikutan masalah kesihatan yang dialami penceramah terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias, Pemuda PAS Perak telah mengunjungi beliau di Hospital Pakar KPJ, di sini, 23 Februari lalu.
Pemuda PAS Perak menghargai jasa dan bakti yang diberikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias dalam bidang dakwah melalui pendekatan santai kepada masyarakat untuk membangunkan ummah.
Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, peranan Ustaz Kazim mendekati masyarakat pelbagai lapisan umur membantu rakyat Malaysia mencintai majlis ilmu yang disampaikan dengan gaya tersendiri.
Akmal menyeru kepada semua ahli PAS agar mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan kembali berkhidmat kepada ummah dan turut bersimpati di atas masalah kesihatan yang dialaminya.
"Kesungguhan beliau menyampaikan ilmu kepada masyarakat sama ada melalui radio dan televisyen perlu dicontohi oleh anak muda sebagai tanggungjawab bersama.
"Pemuda PAS Perak mengharapkan lebih ramai golongan pendakwah yang berkaliber dapat dilahirkan khususnya dalam kalangan orang muda bagi mengisi keperluan masyarakat mendalami Islam.
"Dakwah Islam tidak tertumpu melalui satu pendekatan bahkan ianya boleh divariasikan mengikut keperluan dan situasi semasa," ujar beliau.
Turut serta dalam ziarah tersebut, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri, Setiausaha Pemuda PAS Perak, Abdul Qahar Syams, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Sani dan beberapa pimpinan yang lain.
Di akhir pertemuan, Dewan Pemuda PAS Perak berpeluang membacakan doa selamat memohon kesejahteraan kepada Datuk Ustaz Kazim Elias.
0 comments: