Pengganti Tok Guru yang ‘mudoh bbaso, sene kkiro’


KEHADIRANNYA begitu diraikan. Dia menjadi harapan jemaah Islam bagi menggantikan insan istimewa yang telah pergi mengadap Ilahi.

Pemilihannya sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka pada 22 Mac 2015, berikutan kematian  Murabbi Ummah, Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, disenangi semua pihak. Malah, pemilihannya begitu dinanti oleh pengundi Dun tersebut memandangkan masyarakat telah lama mengenalinya.

Pada masa yang sama, pemilihannya juga digeruni pihak lawan berikutan peribadi beliau begitu istimewa di mata masyarakat sejak awal lagi. Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, 43, dipilih rakyat sebagai penyambung perjuangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau membawa kejayaan besar pada PRK itu dengan majoriti 10,092 undi dengan mengalahkan empat calon Bebas.

Anak kesembilan daripada 10 orang adik beradik itu dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang ‘mudoh bbaso, sene kkiro’. Menariknya, beliau bukan sahaja dikenali oleh mereka yang sering ke masjid untuk solat berjemaah atau sering ke tempatnya mengajar agama, sebaliknya di pasar khususnya Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa.

Beliau sering dilihat membeli keperluan harian sendiri khususnya barangan dapur selepas menghantar anak-anak ke sekolah.
“Sekarang ni dah tak sempat dah, waktu pagi selepas hantar anak ke sekolah, ada masyarakat nak jumpa, kena ke pejabat Dun atau ke SUK,” ujarnya dalam pertemuan bersama Harakah baru-baru ini.

Harakah sempat menyelami kisahnya sebagai seorang wakil rakyat, setelah hampir setahun beliau diamanahkan dengan tanggungjawab itu. Fathan mengakui, tugasnya dahulu dan kini agak berbeza setelah menjadi wakil rakyat. - HARAKAHDAILY 27/2/2016

0 comments: