Sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang dianjurkan oleh PAS Negeri Selangor semalam menyaksikan sambutan yang luar biasa daripada masyarakat tionghua. Program yang dihadiri sekitar 1500 orang daripada pelbagai kaum, termasuk kaum melayu dan india, dirasmikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Program tersebut bertambah meriah apabila Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Ibrahim mendendangkan lagu Bulan Dihatiku di dalam bahasa mandarin. Ucapan Alu-Aluan Dato’ Iskandar Samad mendapat tepukan gemuruh dan sorakan riuh apabila ucapan beliau disulami bahasa mandarin.
Ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dengan jelas melakarkan kepentingan perpaduan dengan menyokong sebuah kerajaan yang dibentuk dan ditadbir bersama oleh kesemua kaum di Malaysia. Beliau menekankan bahawa semangat perkauman tidak wujud di dalam Islam. Malah, beliau menegaskan kewajipan individu untuk memelihara budaya dan bahasa kaum masing-masing.
Jelas sekali, program semalam merupakan sebuah indikasi bahawa PAS Selangor masih mendapat sokongan yang padu daripada akar umbi bukan Islam. PAS kini telah menjadi sebuah parti yang pendapat sokongan dan dokongan dari segenap masyarakat tanpa mengira kaum, jantina ataupun umur. Oleh itu, PAS Selangor akan terus mengorak langkah ke dalam komuniti bukan Islam dan memecahkan agenda Islamophobia yang ditanam oleh pihak-pihak berkepentingan.
Pelancaran Program Green Silk malam tadi adalah permulaan bagi projek perintis, yang akan dipimpin oleh Yang Berhormat Dr Halimah Ali, untuk meningkatkan lagi sokongan rakyat bukan Islam kepada PAS. Melalui projek tersebut, PAS Selangor akan memperkasakan jentera sehingga ke akar umbi untuk menerangkan gagasan yang dibawa PAS kepada rakyat bukan Islam. Dengan hati yang tekad dan keimanan yang utuh, PAS Selangor akan berusaha merealisasikan impian dan harapan segenap rakyat untuk masa depan negeri Selangor dan negara amnya.
Mohd Prasad bin Hanif
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor
0 comments: