Umno sendiri adalah punca kegagalan wawasan 2020

SAYA tertarik dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam di muka hadapan Sinar Harian hari ini 22 Februari 2016. Di dalam kenyataan tersebut, beliau menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kegagalan Wawasan 2020 kerana gagal menyediakan pemimpin pelapis di semua peringkat untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Adalah mudah untuk menyalahkan Mahathir pada saat beliau sudah tidak berkuasa sebagai Perdana Menteri lagi sebagaimana satu ketika dahulu. Ia amat berbeza berbanding pada saat Mahathir berada di puncak kuasa di mana semua lapisan pemimpin dan ahli Umno menyanjungi dan memujanya sepanjang masa.

Hari ini, pada ketika pertembungan sangat jelas di antara Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sudah tentu sebarang kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Mahathir mudah didedah dan disebarkan. Apatah lagi selepas anaknya sendiri disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah.
Sebenarnya, punca kegagalan Wawasan 2020 ialah sistem Umno itu sendiri. Umno mendidik ahlinya untuk taat dan setia hanya kepada pemimpin yang berkuasa. Tiada dasar dan prinsip yang mengikat ahli Umno kecuali sikap pragmatik.

Justeru dapat disaksikan bagaimana apabila mana-mana puncuk pimpinan Umno yang melepaskan jawatan, mereka tidak akan dipandang tinggi lagi apatah lagi sekiranya berlaku perbezaan pandangan dengan pimpinan semasa.

Setiap Presiden Umno yang memegang jawatan Perdana Menteri akan datang dengan dasarnya dan wawasannya masing-masing. Wawasan 2020 hanyalah menjadi wawasan ketika zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Seluruh agensi dan jabatan kerajaan diminta menjadikan wawasan ini sebagai bahan kempen serta misi dan visi jabatan masing-masing. Sembilan cabaran Wawasan 2020 dihadam dan dikhatam sebaik mungkin oleh penjawat awam kononnya sebagai syarat untuk berkhidmat dengan baik.

Namun ia hilang daripada menjadi ‘zikir’ apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada tahun 2003. Sedikit demi sedikit ia tenggelam dengan moto Islam Hadhari tajaan Pak Lah.

Maka seluruh negara diminta memperkenalkan jemana baru bernama Islam Hadhari ini sebagai satu jenama yang diperkenalkan oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri.

Hari ini, tiada lagi Wawasan 2020 dan tiada lagi Islam Hadhari. Wawasan 2020 sudah tidak ada lagi dalam ucapan-ucapan penting Perdana Menteri seperti ucapan Bajet, ucapan pembentangan Rancangan Malaysia dan lain-lain ucapan rasmi.

Sepatutnya jika ia masih lagi menjadi dasar utama dan wawasan negara, ia patut disebut sentiasa agar semangatnya sentiasa diperbaharui.

Tun Musa Hitam mendakwa Tun Dr Mahathir gagal menyediakan pemimpin pelapis, saya tidak mengira ia sebagai punca utama. Perdana Menteri hari ini ialah bekas Ketua Pemuda Umno selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri hari ini juga ialah bekas Ketua Pemuda Umno pada era Reformasi 1998. Semua mereka menjawat jawatan ketika Mahathir sebagai Perdana Menteri. Mereka boleh memilih untuk terus meletakkan Wawasan 2020 sebagai wawasan yang perlu dicapai, namun mereka memilih untuk tidak berbuat demikian.

Kenapa? Kerana Umno itu sendiri demikianlah sistemnya. –HARAKAHDAILY 22/2/2016

0 comments: