
Wacana Aliran Pemikiran dan Ideologi Semasa Siri-2: Memantap Fikrah Menuju Kemenangan
BATU CAVES : Seramai 250 orang penggerak muslimat dari pelbagai negeri seluruh Malaysia telah menghadiri Wacana Aliran Pemikiran dan Ideologi Semasa Siri-2 anjuran Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Malaysia pada Sabtu lepas bersamaan 27 Februari. Wacana yang dirasmikan oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh ini diisi dengan pembentangan empat kertas kerja bertujuan untuk memberikan kefahaman kepada pimpinan muslimat PAS dan para penggerak Lajnah Dakwah, tentang aliran pemikiran songsang serta strategi menanganinya.
Puan Hamidah Hj Daud Pengerusi Lajnah Dakwah DMPM dalam ucapan aluannya menerangkan tentang pelbagai aktiviti Lajnah Dakwah yang telah dijalankan di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Beliau turut memaklumkan bahawa Lajnah Dakwah telah berjaya menerbitkan Buletin Al-Hikmah siri yang kedua yang mula dijual di program tersebut seterusnya akan diedarkan ke negeri-negeri. Puan Hamidah turut melahirkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Berucap dengan penuh semangat dalam majlis perasmian, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengajak seluruh muslimat untuk mengatasi kejahilan kerajaan Barisan Nasional yang memperjudikan sistem pendidikan negara akibat daripada pengaruh serangan pemikiran barat. Beliau turut membangkitkan kesedaran muslimat untuk terus memperjuangkan masa depan anak bangsa yang juga merupakan satu tuntutan Islam.
Dalam pembentangan kertas kerja pertama bertajuk ‘Lanskap Pemikiran Dan Gerakan Liberal Global dan Malaysia’, Tuan Haris Zulkapli telah mendedahkan tentang gerakan liberal antarabangsa dan kaitannya dengan gerakan liberal di Malaysia. Saranan beliau agar muslimat menggunakan sepenuhnya ruang usrah, media massa, dan siri-siri wacana untuk menyebarluaskan bahaya ancaman pemikiran liberal hingga menimbulkan kesedaran masyarakat Islam yang lain.
Sementara itu pembentang kertas kerja kedua iaitu Dr. Ahmad Faizal Zahari melalui kertas kerja beliau “Liberalisme Dalam Islam Moderate” telah menjelaskan tentang perancangan barat mengalihkan tumpuan umat Islam dengan hanya menumpukan ke arah pembentukan diri yang soleh dan kerjaya yang baik tanpa menyebutkan tentang tuntutan dakwah. Beliau turut mempersoalkan umat Islam yang telah semakin hilang perkataan wara’ dan mati syahid dari minda mereka kerana terpengaruh dengan pemikiran barat.
Wacana semakin mendapat tumpuan dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Fadhli Ghani melalui kertas kerja beliau ‘Kemunculan Islam Moderate Dan Islam Progresif Dalam Gerakan Islam’. Beliau menempelak usaha barat membangunkan sistem pengajian Islam di sana yang hanya semata-mata untuk melahirkan generasi yang memahami Islam secara salah dengan menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme sekembalinya ke negara mereka. Beliau turut menyatakan bahawa barat berusaha melambatkan kebangkitan dan kemenangan Islam. Umat Islam mesti yakin dengan hampirnya kemenangan Islam serta terus berusaha ke arah itu.
Pembentang keempat iaitu Dr. Nadzri Mansur dengan kertas kerja beliau ‘Strategi Menangkis Kesalahfahaman dan Penyelewengan Terhadap Islam’ telah mencadangkan strategi menangkis salah faham melalui konteks individu, intelektual Islam, masyarakat, media massa dan negara. Melalui konteks media massa, beliau menyarankan agar program dan berita yang dipaparkan tidak menggambarkan salah faham tentang Islam. Selain itu, penerbitan program dan dokumentari mengenai Islam perlu diberi perhatian.
Seterusnya setiap daripada kita perlu sedar bahawa musuh utama kita peka akan kelemahan dan kekuatan umat Islam. Kerana itu, mereka menggunakan serangan pemikiran untuk merosakkan umat Islam seluruhnya. Justeru sebagai ahli gerakan yang beristiqamah, muslimat khususnya perlu berusaha untuk mendalami ilmu ini supaya dapat disebarluaskan ke seluruh masyarakat dalam negara ini. Ingatlah bahawa kita bukan pemula kepada perjuangan, juga bukan penamatnya. Bahkan kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan suci baginda Rasulullah S.A.W.
0 comments: