KUANTAN: Sesungguhnya amaran seorang saintis pengkaji kesan pelombongan bauksit mengenai nasib penduduk di daerah ini, tidak boleh dipandang remeh.
Pengkaji berkenaan Profesor Dr Maketab Mohamed dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi amaran penduduk Kuantan berisiko menghidap penyakit genetik akibat pencemaran air hasil perlombongan bauksit di Pahang.
Menurutnya, hasil kajian secara saintifik mendapati air sungai-sungai di sepanjang pelombongan logam berkenaan, menunjukkan ianya tercemar dengan bahan kimia seperti plumbum, kadmium, kromium trivalen, merkuri dan aluminium.
Kajian dibuat berdasarkan sampel air sungai yang diambil sekitar tapak perlombongan di Bukit Goh, Bukit Sagu dan Sungai Pahang.
Katanya, walaupun hasil kajian mendapati kandungan bahan-bahan kimia itu masih rendah tetapi dalam jangka panjang pengguna yang berterusan menggunakan air tercemar berisiko mengalami penyakit minamata dan itai-itai.
“Saya bimbang merkuri yang terdapat di Bukit Goh bertukar kepada meta merkuri iaitu bahan kimia yang menjadi penyebab berlakunya penyakit genetik minamata.
“Pertukaran kimia tidak berlaku dalam masa terdekat kerana melibatkan masa antara 10 ke 15 tahun lagi,” katanya seperti dilaporkan.
“Apa yang mahu saya jelaskan di sini mungkin sekarang kandungan bahan kimia seperti merkuri masih rendah, namun apa akan berlaku pada masa hadapan.
“Jangan lihat kesan dalam masa terdekat, inilah perkara yang saya takut berlaku di Pahang.”
Hasil kajian itu dibentangkannya dalam satu forum perlombongan lestari anjuran Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) di Universiti Malaya.
Penyakit minamata menyerang fungsi saraf, manakala itai-itai pula sakit sendi.
Minamata dan itai-itai, dua penyakit dalam bahasa Jepun, masing-masing akibat keracunan merkuri dan kadmium.
Minamata dan itai-itai pernah dialami di negara tersebut akibat perlombongan yang tidak terkawal masing-masing pada 1952 dan 1921.
Jika permasalahan yang ditimbulkan ini tidak diberi perhatian, dibimbangi usaha membendungnya pada masa akan datang bakal menambah kos dan ini merugikan wang rakyat.
Sudah tentu perusahaan bauksit untuk eksport dan ekonomi itu tidak salah semata-mata, namun kelemahan yang ada di pihak kerajaan sekarang ialah kelemahan pihak berkuasa mengawal SOP.
0 comments: