Oleh NUR KHADIJA
BUKIT MERTAJAM: Ke arah memberi pengetahuan dan kefahaman berkenaan politik dan dakwah, Ameerah Pulau Pinang telah menganjurkan ‘Gelombang Apple Hijau’ (GAH) 2016 yang berlangsung di Dewan Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, di sini 20 Mac lalu.
Menerusi program dengan kerjasama Nusaibah dan Briged Muslimat Pulau Pinang tersebut, para peserta diberi penekanan berkait kepentingan dan kefahaman ilmu Islam seterusnya mengerakkan jemaah seiring dengan pendekatan rohani dalam diri individu.
Antara pengisian utama pada program sehari itu adalah sesi Bedah Buku yang bertajuk “Qaidul Qudwah” karya As-Syeikh Mustafa Masyhur yang dikupas oleh Ketua Alimat Dewan Ulamak Negeri Pulau Pinang, Ustazah An-Nisa Yusuf.
Menurut beliau, buku ini mengulas mengenai kewajipan berdakwah iaitu sebab ahli menyertai PAS adalah untuk tugas dakwah, selain menerangkan tanggung jawab pengikut terhadap pimpinan.
Turut berlangsung ialah perkongsian khas oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Hanif Haron yang membicarakan topik “Politik Versus Dakwah”.
Beliau menegaskan agama sebagai asas politik dan dakwah dan menyedarkan peserta betapa masalah yang berlaku dalam politik PAS sekarang berpunca daripada kurangnya kefahaman agama iaitu perkara-perkara fardu ain.
Program julung kali itu turut dihadiri Ketua Ameerah Pulau Pinang, Ustazah Mastura Muhammad dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus.
Perasmian GAH 2016 telah disempurnakan oleh, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuff.
0 comments: