DLP langkah ke arah PPSMI - Prof Abdullah

TEMERLOH: Pelaksanaan pembelajaran dwibahasa (Dual Language Program - DLP) tidak harus dibiarkan kerana ia sebenarnya langkah ke arah melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan berkata, walaupun untuk projek rintis program berkenaan hanya melibatkan 300 buah sekolah namun sekolah yang dipilih terdiri daripada sekolah bandar yang pelajar-pelajarnya sudah fasih berbahasa Inggeris.

“Lama kelamaan selepas sekolah-sekolah tersebut apabila mendapat keputusan yang baik, akhirnya akan dikuatkuasakan kepada semua sekolah,” katanya dalam program taklimat bersama kepimpinan PAS Negeri Pahang pada Isnin lalu di Dewan Dato’ Abu Samah, bangunan PAS Pahang, di sini.

Abdullah berkata, memang tidak menjadi masalah bagi pelajar-pelajar yang sudah fasih berbahasa Inggeris namun bagaimana dengan pelajar-pelajar di luar bandar.

“Saya dengar pelaksanaannya juga sangat rumit kerana guru-guru pengajar yang betul-betul mahir berbahasa Inggeris juga jauh daripada mencukupi,” tegasnya.

Justeru, katanya, rakyat sepatutnya membantah DLP demi masa  depan anak-anak Melayu jika tidak menjadi korban.
Program DLP yang kini menjadi bantahan umum, akan dilaksanakan untuk pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 untuk Sekolah Kebangsaan dan Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bermula tahun 2016 yang akan melibatkan 300 sekolah rintis.

Abdullah berkata, jangan diulangi kesilapan lalu di mana pelajar-pelajar Melayu terutamanya di luar bandar telah menjadi korban PPSMI yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada 2003 dan kemudiannya dimansuhkan pada 2012.

“Di UPSI kami dah buat penyelidikan anak-anak Melayu dan Orang Asli hasil pembelajaran PPSMI dulu dan yang didapati ialah pencapaian mereka dalam subjek Sains merosot teruk.

“Penyelidikan kami menyimpulkan pendidikan anak-anak Melayu sia-sia. Pencapaian mereka sangat rendah dengan diturunkan graf kelulusan sehingga 18 peratus.

“Bayangkan, dengan kos PPSMI mencecah sehingga RM5 bilion, pelajaran Sains dan matematik menurun, pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) tidak meningkat dan asas pendidikan dalam bahasa Melayu (BM) hancur. Jadi kenapa perlu merosakkan anak bangsa?,” soalnya.

Tambah Abdullah, rakyat membantah program ini demi masa  depan anak-anak Melayu. Jika kamau nak BI(, siapkan dengan pendidikan alternatif, jangan korbankan BM.

Beliau turut mengingatkan, ada banyak negara dalam dunia tidak menjadikan BI sebagai bahasa pengantar tetapi tetap maju seperti Jerman, Jepun, Korea dan China.

“Nak pelajari BI pelajarilah BI sungguh-sungguh. Kalau nak buat, buat macam sekolah-sekolah beraliran Cina di mana pelajaran diajar dalam dua bahasa. Boleh belajar tapi yang kita bantah kerana mengenepikan bahasa Melayu.

“Yang kita mahu sekolah-sekolah agar BM kekal dan perkasakan BI, ajar BI betul-betul. Contoh di Indonesia diberi kem BI selama enam bulan. Memang hasilnya pembelajaran secara intensif selama enam bulan lebih baik daripada diajar BI sedikit-sedikit selama 11 tahun (sekolah rendah dan menengah).

“Kalau campur aduk, rosaklah sistem dan akibatnya rosak BM dan BInya pula tidak ke mana. Sedih tengok nasib pelajar Melayu, 11 tahun di sekolah dan ditambah empat tahun di universiti, tetapi kedua-dua bahasa digunakan macam tak pernah masuk universiti. Jadi ini yang kita bimbangkan,” ujarnya.

Jelas beliau, kita boleh merujuk Indonesia yang rakyat mereka begitu banyak kreativiti tetapi pembelajaran mereka bukan diajar dalam BI.

Ditanyai mengenai adakah mungkin ada tujuan lain di sebalik DLP seperti dorongan wang dan projek, Abdullah tidak menafikannya kerana kosnya tinggi menjangkau melibatkan RM138 juta.

“Pernah satu ketika Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi masa itu Dato’ Saifuddin Nasution memanggil satu perjumpaan untuk menerbitkan 20,000 buku baru. Malangnya yang dipanggil itu kebanyakannya kontraktor atau pembekal buku, bukannya penulis buku,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya semua yang prihatin agar menyertai bantahan DLP pada 9 April ini di dataran Merdeka Kuala Lumpur.

0 comments: