DPPM Sokong Penubuhan Kaukus Parlimen Hapuskan Amalan Perjudian


Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

23 Mac 2016 | 14 Jamadil Akhir 1437H

DPPM SOKONG PENUBUHAN KAUKUS PARLIMEN HAPUSKAN AMALAN PERJUDIAN
1. Isu perjudian menjadi perhatian utama perbincangan dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
2. Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri juga menyatakan bahawa Negeri Kelantan seharusnya menjadi contoh dalam menghapuskan segala bentuk perjudian di negeri tersebut. Langkah itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1992 dibawah pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan legasi itu diteruskan sehingga kini.
3. DPPM menyokong pendirian Kerajaan untuk menubuhkan sebuah kaukus parlimen bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku dalam negara. Cadangan itu dibangkitkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga merupakan Setiausaha Agung PAS Pusat.
4. Langkah tersebut begitu signifikan bagi memastikan suatu penelitian yang mendalam dilakukan terhadap setiap sudut amalan perjudian yang berlaku dalam negara seterusnya memastikan Malaysia bersih dari amalan perjudian yang telah terbukti meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat.
5. DPPM juga menggesa agar kaukus yang dibentuk meneliti aspek pendidikan dan perundangan sebagai pelengkap kepada langkah menghapuskan amalan perjudian disamping memupuk nilai kefahaman agama yang sebenar kepada masyarakat keseluruhannya.
Sekian.
"Membina Malaysia Sejahtera"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"
NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia | Ahli Parlimen Pasir Mas.

0 comments: