
Himpunan 20K Huffaz
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Setiausaha Kongres Rakyat.
1. Saya telah menerima undangan langsung dari Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan (PINTA) ke majlis perasmian Himpunan 20K Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan yang berlangsung hari ini.
2. Selaku Setiausaha Kongres Rakyat, saya mengucapkan tahniah kepada PINTA atas kejayaan menganjurkan Himpunan 20K para huffaz yang mewakili kira - kita 300 buah Maahad Tahfiz dari seluruh negara.
3. Semoga Malaysia terus subur dengan kelahiran para huffaz Al Quran. Ia menjadi masa depan yang baik kepada Malaysia ke arah memartabatkan Al Quran, bukan sahaja tersemat di dada para huffaz tetapi juga insyaallah akan menjadi asas pembentukan peribadi warga Malaysia dan pemimpinnya, malah berpotensi meletakkan Al Quran sebagai pemandu pembentukan iklim sosial, ekonomi dan politik negara.
4. Saya yakin PINTA akan berjaya mengangkat imej dan kualiti Maahad Tahfiz seluruh negara agar menjadi sebuah institusi utama untuk melahirkan generasi al Quran malah saya doakan sebaiknya agar dapat mencapai nisbah satu keluarga muslim seorang hafiz al Quran pada masa akan datang.
5. Sebelum ini Kongres Rakyat telah menggesa kerajaan agar serius memperkasakan institusi pengajian Islam, sekolah agama rakyat termasuklah pusat pengajian tahfiz Al Quran yang merata diseluruh negara agar ia benar - benar berfungsi serta memberi impak maksima dalam mencetak generasi yang soleh dan bertaqwa.
6. Kelahiran PINTA sangat dialu - alukan agar menjadi satu gabungan yang efektif menjulang imej huffaz Al Quran agar tidak dipandang sinis oleh sebahagian masyarakat apa lagi dianak tirikan dalam sistem pendidikan perdana.
Sekian.
0 comments: