IBADAH DALAM POLITIK


IBADAH DALAM POLITIK
Oleh: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Asal ugama adalah hubungan hamba dengan tuhan penciptanya. Melalui ugama manusia akan mengenal tuhanNya lalu menyembahNya. Apabila Allah disembah, maka tercapailah matlamat wujudnya ugama dan para rasul di dalam kehidupan manusia.

Adapun hubungan manusia dengan sesama manusia, itu bukan hal ugama. Tanpa ugama, manusia sudah pun saling mengenal dan saling berhubungan sesama mereka. Ia adalah perihal sosio politik, bukan perihal ugama.

Ada manusia yang apabila memperolehi ugama dan mencintainya, dia masuk hutan atau menyendiri jauh daripada kehidupan manusia kerana mahu menyembah Allah setulusnya. Dia bimbang kejahatan manusia ke atas diri dan ugamanya atau dia takut dirinya kembali menjadi jahat apabila bergaul dengan kawan-kawan yang jahat. Maka dia menyembah Allah dan tidak menggauli manusia lain apatah menyakiti mereka.

Orang ini dipuji juga oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam. Dia telah melaksanakan asal ugama iaitu mengenali dan menyembah Allah.

Tetapi ia langsung bukan satu seruan ugama. Ia hanyalah satu pengecualian dalam keadaan dan kes tertentu. Ashabul Kahfi misalnya, melarikan diri dari perbandaran dan masuk ke dalam gua akibat bimbangkan kejahatan kaumnya. Allah memuji dan tidak pun mendakwa mereka sebagai lari daripada tugas ugama. Bahkan ia adalah demi memelihara ugama dan kehidupan mereka.

Asal ugama walaupun untuk manusia mengenal dan berhubung dengan Allah melalui ibadah, tetapi ugama telah diberi peranan oleh Allah dalam kehidupan sesama manusia. Allah mahu ugamaNya hidup dalam kehidupan sesama manusia juga.

Ertinya, sebagaimana ugama itu adalah hubungan di antara al khaliq dengan makhlukNya, begitu juga ugama telah diberi peranan dalam hubungan sesama makhluk. Allah mahu makhlukNya berhubung dengan makhlukNya yang lain melalui cara yang dikehendaki dan disukaiNya.

Maka ugama, selepas menyelesaikan perihal hubungan kita dengan tuhan kita, ia datang pula bagi menyelesaikan hubungan kita sesama kita. Maka di sini, ugama memasuki kehidupan sosial, politik, ekonomi dan seluruh penjuru kehidupan manusia.

Hidup ini bukan semata-mata mengadap Allah di tikar sejadah. Hidup ini juga adalah mengadap manusia. Begitu hidup, begitulah ugama. Ugama adalah fitrah. Ia seragam dengan fitrah manusiawi. Manusia diciptakan untuk hidup berkelompok dan madani sifatnya. Justeru ugama fitrahnya adalah seragam dengan kemadanian dan hidup bermasyarakat.

Apabila ugama memasuki kehidupan manusia dalam segala cabangnya, maka ia menganjurkan hubungan yang harmoni sesama makhluk. Hubungan yang harmoni berlaku dengan perlaksanaan kebaikan dan kebajikan sesama manusia. Justeru selepas seruan menyembahNya, Allah menyeru agar hambaNya melakukan kebaikan sesama mereka.

Perhatikan firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah dan sujudlah dan sembahlah Tuhanmu dan lakukanlah kebaikan/al khair (sesama kamu) semoga kamu semua beroleh kemenangan." - surah al Haj:77

Ayat ini mudah difahami maksudnya. Ia pernyataan yang jelas bahawa Islam menuntut kewujudan dua suasana dalam kehidupan manusia beriman iaitu aman hubungan mereka dengan Allah melalui solat dan aman juga hubungan mereka sesama manusia melalui saling melakukan kebajikan.

Justeru berbuat baik sesama manusia adalah ibadah kepada Allah. Ia dikategorikan sebagai amal taat kepada perintah Allah. Allah menyuruh solat dan Allah menyuruh berbuat kebaikan. Maka kedua-duanya adalah ibadah taat dan tunduk kepada kehendak dan perintahNya.

Sebagaimana kelebihan dalam ibadah hubungan dengan Allah dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah, begitulah ibadah hubungan sesama manusia dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah mereka melakukan kebajikan sesama manusia.

Justeru berlakulah perlumbaan sesama manusia yang beriman dalam melakukan ibadah dan kebajikan. Maka anda tidak dapat melihat di dalam Islam selain seruan yang paling sempurna ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Bermula daripada hubungan kekeluargaan di antara anak dan ibu bapa, suami isteri, kaum kerabat, jiran tetangga dan masyarakat, Islam menganjurkan kebaikan dalam negara dan masyarakat antarabangsa. Bahkan Islam terus mara dengan arahan dan anjuran agar dijaga dan dipulihara alam raya yang diciptakan untuk kehidupan makhluk manusia yang dipilih oleh Allah sebagai tuan di muka bumi ini.

Apabila anda memahami ini, maka fahamilah bahawa politik Islam adalah politik kebaikan dan kebajikan. Ia menganjurkan segala jalan-jalan ke arah keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam negara. Ia menolak kezaliman dan segala bentuk halangan daripada melakukan kebaikan.

Dalam politik kenegaraan, istilah kebaikan diperluaskan dalam dua perkataan yang lebih menyeluruh iaitu keadilan dan kesatuan. Di dalam al Quran dan sunnah, kita akan menemukan banyak arahan agar ditegakkan keadilan dan ditegah kezaliman serta dipupuk perpaduan umat dan ditegah perpecahan dan pemutusan silaturrahim sesama manusia.

Politik Islam menolak segala cara yang menimbulkan perbalahan, kebencian, keterlampauan dan segala apa yang menambahkan duka lara kerosakan dalam kehidupan. Segala usaha-usaha politik oleh setiap muslim mestilah dengan hasrat melakukan islah, pembaharuan dan perubahan ke arah lebih baik dan melalui cara yang baik juga.

Apabila anda memahami ini, maka anda akan lebih mudah memahami mengapa PAS yang mewakili pengamalan politik cara Islam dalam negara berusaha keras ke arah itu. Ia mungkin kadang-kadang dirasai kepelikannya oleh sebahagian peminat politik, tetapi bagi pengamat agama Islam, ia akan mudah menghadamkan kebijakan dan istiqamah PAS berpolitik dalam semangat dan matlamat beribadah kepada Allah.

0 comments: