Kelantan tetap tuntut royalti petroleum

KOTA BHARU: Kelantan tetap akan meneruskan tuntutan royalti petroleum sebagaimana termaktub dalam perjanjian pada 9 Mei 1975, biar pun disalur wang ihsan.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata royalti adalah perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas berupa bayaran wang tunai hasil petroleum yang dicari gali di perairan negeri tersebut.

“Sedangkan wang ihsan ini lain, ia seumpama mangkuk berasingan,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini semalam.
Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menandatangani perjanjian berkaitan pelaksanaan agihan wang ihsan.

Menteri Besar bagaimanapun menyambut baik perjanjian itu bagi membolehkan Maik dan Jabatan Pembangunan Persekutuan mengagih wang ihsan di Kelantan.

“Amat sesuai disalur melalui Maik kerana agensi berkenaan mempunyai program membantu penduduk miskin yang memerlukan bantuan.

“Maik sering menyalurkan sumbangan membantu penduduk miskin, pelajar sekolah, membaiki rumah, membantu armalah dan anak yatim,” ujarnya.

Ditanya kenapa wang ihsan tidak disalur terus kepada kerajaan negeri, beliau berkata perkara itu telah dipersetujui sejak zaman Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. – HARAKHDAILY 17/3/2016

0 comments: