Khutbah Jumaat
Oleh: Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
11 Mac 2016
BERWASPADA DALAM HIDUP
Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita mengingati diri kita serta memahami dan mengikuti perintah Allah SWT, diantaranya perintah yang merupakan larangan supaya kita berpada di dalam hidup ini. Firman Allah SWT :
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka Yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa Yang besar. (Al-Imran 105).
Berhubungan dengan ini Rasulullah SAW telah mengingatkan kita supaya jangan terpengaruh dengan golongan ahli kitab (Yahudi dan Kristian). Malangnya terdapat juga dari kalangan kita yang terpengaruh dengan mereka itu. Sabda Rasululah SAW:
(Maksudnya) : sesungguhnya Nabi Israil itu berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan umat aku juga berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Semuanya dalam neraka, melainkan satu sahaja. Para sahabat bertanya: siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW: sesiapa yang bersamaku dan sahabatku.
(Maksudnya): akan tetap ada dikalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang menentang mereka sehingga datangnya urusan Allah.
Inilah perkara yang dialami oleh umat Islam. Sejarah Islam menunjukkan kepada kita benarnya apa yang telah diberi amalan oleh Rasulullah SAW. Bermula dengan umat Islam yang berpecah dalam perkara yang diizinkan oleh Allah SWT, perkara yang berkaitan dengan cabang-cabang agama kerana berbeza pendapat, berbeza keadaan, tempat dam masa. Lalu melahirkan mazhab-mazhab daripada kalangan sahabat dan tabiin. Melahirkan mazhab-mazhab fiqh dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Melahirkan ulama-ulama yang menafsirkan ayat-ayat yang berkaitan dengan akidah dan akhlak. Melahirkan mazhab-mazhab yang terkenal dalam kalangan umat Islam.
Umat Islam mengalami perpecahan politik apabila mereka berbeza untuk melantik siapakan yang menggantikan Rasulullah SAW selepas wafatnya. Namun semua kumpulan yang bertelingkah berpegang dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Walaupun pada zaman itu umat Islam mengalami perbezaan pendapat, perpecahan pandangan, namun mereka bersatu berdakwah bagi menegakkan Islam dan melaksanakan hukum syariat serta bersatu dalam menentang musuh-musuh Islam. Mereka ialah ahli kiblat ynag menghadap Kaabah yang satu. Walaupun berbeza fahaman dalam perkara cara sembahyang, namun mereka bersembahyang. Walaupun berbeza fahaman dalam perkara puasa, namun, mereka berpuasa. Walaupun berbeza fahaman dalam beberapa perkara haji, namun meraka mengerjakan haji. Mereka tetap sama mengharamkan arak dan judi.
Apa yang menjadi masalah pada zaman mutakhir ini terdapat orang-orang yang mengaku Islam, tetapi menerima hokum-hukum yang lain daripada Islam, menerima cara hidup yang lain daripada Islam yang tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam, mencetuskan semangat kebangsaan yang menyebabkan orang Islam berperang kerana perbezaan bangsa dan perbezaan pandangan di dalam cara hidup, menyebabkan berlaku perpecahan yang diberi amaran oleh Allah SWT yang pernah berlaku dalam kalangan ahli kitab dan berlaku pula dalam kalangan umat Islam.
Sabda Nabi SAW:
(Maksudnya): jangan kamu menyeleweng selepas aku wafat. Nanti kamu akan memancung leher diantara satu sama lain.
Melihat berlaku krisis yang menimbulkan peperangan di dalam Negara-negara umat Islam hari ini. Diharapkan ia tidak berlaku dinegara kita. Peperangan sesame sendiri sehinggaa mereka boleh digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjaga kepentingan musuh-musuh itu di Negara orang Islam sendiri. Puncanya ialah kerana tidak berpegang dengan dasar dan asas yang kukuh serta kejahilan dalam perkara agama.
Oleh kerana itu, kembalilah kepada Islam dan petunjuk Allah SWT yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Al-imran 103).
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya. (Al-imran104).
0 comments: