Khutbah Jumaat: Tanda Kiamat (Mensia-siakan Amanah)

Khutbah Jumaat: Tanda Kiamat (Mensia-siakan Amanah)
Khutbah Jumaat
Oleh: Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
18 Mac 2016

Tajuk :TANDA KIAMAT - MENSIA-SIAKAN AMANAH

Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
(Maksudnya) : Dari Abi Hurairah RA, katanya, sedang Rasulullah SAW berada di dalam majlis bercakap-cakap dengan mereka yang hadir, tiba-tiba dating seorang Badwi dan terus bertanya, bilakah berlakunya kiamat? Rasulullah SAW meneruskan ucapannya (tanpa mempedulikannya). Sebahagian orang berpendapat, mungkin Baginda tidak senang dengan cara dia bertanya. Sebahagian lagi berpendapat mungkin baginda tidak dengar apa yang ditanya. Setelah selesai menyampaikan ucapannya, lalu Baginda bersabda: Mana dia orang yang dilihat bertanya tentang kiamat tadi? Orang itu menjawab: Ini saya, wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW: Apabila disia-siakan amanah. Lalu orang itu bertanya lagi: Bagaimana disia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Sabdanya: Apabila diserahkan urusan umat kepada orang yang bukan ahlinya.
 Hadis ini menunjukkan kisah yang sangat menggerunkan dari seorang Arab yang buta huruf yang dating dari kawasan pedalaman yang beriman kepada Allah dan Rasul, percaya kepada hari kiamat dan percaya berlakunya hari kiamat yang memusnahkan alam ini, lalu mengemukakan soalan bilakah berlakunya peristiwa yang sangat dasyat itu? Lalu Nabi Muhammad SAW tidak mensia-siakan orang yang bertanya walaupun seorang yang datang daripada jauh yang tidak dikenali. Rasulullah SAW menegaskan bahawa tanda-tanda dimusnahkan dunia (kiamat) apabila dipersia-siakan amanah.
Amanah yang paling besar adalah mengendalikan urusan apabila umat menyerahkan urusan mereka kepada orang yang bukan ahlinya. Menandakan urusan mereka akan musnah dan hancur lebur menjadi sebab kepada kemusnahan kepada dunia ini. Amanah yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan (Al-Ahzab 72).
Para ulama menafsirkan ayat ini dengan ceritanya apabila Allah SWT menawarkan amanah yang mempunyai kelebihan (fadilat) yang sangat besar dan mendapat sayang Allah yang sangat tinggi martabatnya. Lalu langit, bukit-bukau dan gunung-ganang bertanya: Apakah amanah itu? Amanah itu adalah syariat Allah, suruhan Allah, mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Sesiapa yang menunaikan perintah Allah, syariat Allah, hukum Allah dan peraturan Allah mendapat kelebihan yang sangat besar. Tetapi ingat, sesiapa yang tidak menunaikan perkara ini akan dihumban ke dalam neraka. Ini menyebabkan langit, bukit-bukau ab gunung-ganang berkunjung ketakutan dan tidak bersedia untuk memikul amanah itu.
Maka Allah SWT menjadikan manusia, bermula dengan Adam AS, dilahirkan darinya zuriat keturunannya, manusia yang diberi keistimewaan yang tidak ada pada makhluk-makhluk yang lain. Manusia mempunyai jasad, mempunyai nyawa, mempunyai akal dan mempunyai roh yang boleh bergerak ke sana ke mari. Yang boleh menilai dengan akalnya mendapat ilmu yang mulia baik dan buruk dengan petunjuk dari Allah SWT.
Namun terdapat dikalangan manusia yang tidak bersyukur atas pemberian kepada mereka oleh Allah SWT. Mereka tidak menunaikan perintah Allah, tidak menyempurnakan suruhannya, mengerjakan larangannya. Melakukan maksiat dan melakukan kezaliman di atas muka bumi sesama sendiri.
Allah SWT merintah mereka supaya berlaku adil terhadap sesama manusia, terhadap dirinya, terhadap keluarganya dan terhadap makhluk-makhluk yang lain. Adil itu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Tetapi manusia tamak haloba yang bernafsu besar tidak menggunakan akal. Mereka menyalahgunakan nikmat yang diberi oleh Allah SWT, menyalahgunakan kuasa dan menyalahgunakan rezeki yang diberi oleh Allah. Mereka berlaku zalim sesama sendiri, menipu sesama sendiri dan melakukan kemusnahan di atad muka bumi.
Manusia yang seperti inilah menjadi sebab kepada berlakunya kiamat dimusnahkan alam ini. Walaupun Allah SWT mengutus Nabi-nabi dan Rasul-rasul AS yang dipilih daripada kalangan manusia sendiri yang wajib bersifat benar, amanah, menyampaikan dan bijak, manusia yang mulia akhlaknya, yang dilihat oleh kaum masing-masing di zaman masing-masing, bermula dengan Adam dan diakhiri dengan Nabi Muhammad SAW.
Namun terdapat dalam kalangan manusia yang melawan dan menghina Rasul-rasul,bukan sahaja tidak mengikut perintah Allah SWT, bahkkan merosakkan diri mereka sendiri kerana memekan yang haram, melakukan kerja yang memudaratkan diri sendiri apabila melanggar batas sempadan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Marilah dengan penuh sedar dan insaf kita menyedari kelemahan-kelemahan ini dan menyedari di sana ada peluang pintu taubat yang dibuka oleh Allah SWT dengan seluas-luasnya kepada manusia yang kafir supaya beriman, dan kepada manusia yang berdosa supaya bertaubat. Ia dibuka sejak awal dunia sehingga matahari naik daripada arah barat, daripada sejak dilahirkan kedunia sehingga nyawa sampai ke halkum. Mengapa manusia tidak mengambil peluang yang luas untuk bertaubat dan kembali kepada Allah? Sangat zalim dan sangat jahat mereka yang melakukan khianat terhadap amanah Allah dan lebih jahat mereka yang tidak masuk ke dalam pintu taubat yang luas dibuka oleh Allah SWT.
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (An-Nisa 58).

0 comments: