Laungan "Orang Muda Pilih PAS " bergema di pentas HIMMAH.
Laungan "Orang Muda Pilih PAS " mula bergema di pentas HIMMAH sebaik sahaja ia dilancarkan oleh Tuan Guru Presiden PAS pada waktu petang ahad 27 mac 2016.
Batu Kurau menjadi saksi bagaimana sokongan orang muda di Perak kini semakin padu bersama PAS. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT atas kejayaan program HIMMAH pada 25-27 Mac 2016 yang lepas.
Kejayaan Himpunan Anak Muda Istiqamah peringkat Negeri Perak yang lepas bukanlah ruang untuk mendabik dada. Namun ianya merupakan tanggungjawab terhadap Pemuda PAS Perak untuk bekerja lebih keras dan ikhlas kerana kini anak muda semakin memberi kepercayaan terhadap PAS.
Tiada ungkapan lain yang mampu terungkap melainkan syukur apabila melihat anak muda dan hadirin yang hadir bukan sahaja penyokong PAS, malahan ada diantara ahli UMNO dan atas pagar turut sama mendengar pengisian yang disampaikan oleh penceramah yang diundang. Malahan sejarah tercipta pada kali ini konvoi pemuda paling ramai melibatkan ribuan anak muda turut bersama menjayakan Konvoi Gergasi HIMMAH dengan kali pertamanya juga mendapat kerjasama PDRM mengawal lalu lintas. Inilah keunikan Dakwah PAS.
Melalui aspek Tarbiyyah yang ditekankan kepada hadirin dengan kematian, keikhlasan, istiqamah dan munajat, mengingatkan diri kita bahwa kita berjuang di dunia untuk mendapat redha Allah dan bersedia pada kehidupan selepas ini.
Adalah kebiasaan program PAS menyentuh aspek Siasah yang tidak boleh lari dari agenda PAS dalam memartabatkan Islam. Namun keunikan kali ini apabila Tan Sri Kadir dan Cikgu Azmi yang bukan Ahli PAS menyentuh perihal politik semasa dengan kegagalan urus tadbir Kerajaan dan menyatakan PAS adalah badan yang mampu menyelamatkan Malaysia. Malahan penglibatan DHPP dan Muslimat turut menjadi bukti bahawa PAS mengiktiraf semua bangsa dan jantina dalam membantu kemenangan.
Untaian kata Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden dan dua anak Tok Guru yang memimpin Pemuda PAS Malaysia menjadi pembakar semangat anak muda Perak untuk lebih rapatkan saff, kemaskan strategi dan kuatkan langkah dalam memastikan Perak kembali mendapat Menteri Besar dari PAS. Dengan lafaz ikrar yang diungkapkan pada petang Ahad yang lalu, InshaAllah menjadi bekalan dalam memastikan diri terus istiqamah bersama PAS sehingga kemenangan Islam.
Momentum HIMMAH akan berterusan dengan slogan Orang Muda Pilih PAS akan melata di seluruh pelusuk Perak dan Malaysia Inshaallah. Beginilah Pemuda PAS Perak dalam mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Elemen Dakwah, Tarbiyyah dan Siasah menjadi teras utama dalam program bersama masyarakat.
Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada adinda saya yang disayangi akhi Hafez Sabri selaku Pengarah serta semua petugas HIMMAH yang menjayakan program secara langsung mahupun tidak langsung. Tidak dilupakan terima kasih kepada Jabatan Amal Perak dan PAS Kawasan Larut terutamanya Dewan Pemuda PAS Kawasan Larut serta PAS Cawangan Batu 20 yang bertungkus lumus membantu. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua penyumbang dan penaja program serta PDRM juga semua rakan media yang turut membantu menjayakan program ini. Sekalung penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS kawasan-kawasan seluruh Perak, Badan Perhubungan PAS Perak serta Dewan Pemuda PAS Malaysia. Semoga Allah menerima amalan kita dan semoga Islam dapat ditegakkan dengan usaha kita ini.
"Orang Muda Pilih PAS"
#BeristiqamahHinggaKemenangan
AKMAL HJ KAMARUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
21 JamadilAkhir 1437H / 30 Mac 2016
0 comments: