PAS tidak akan bagi nyawa kepada Umno


SHAH ALAM: PAS tidak akan memberi nyawa kepada Umno kerana PAS merupakan bahtera penyelamat yang mahu menyelamatkan ekonomi dan negara daripada pimpinan zalim. 
Menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, PRN Sarawak menjadi satu cabaran kepada PAS dengan pendekatan ‘Politik matang dan Sejahtera’ untuk menyelamatkan umat dengan menyelesaikan masalah negara dan rakyat.
Katanya, PAS bukan saja mengkritik pentadbiran negara tetapi memberi jalan penyelesaian bukan seperti Umno yang tidak mempunyai idea.
“Setiap kali berlaku gelombang dalam Umno, kita kena ambil manfaat. Sebahagian besar ahli Umno pening, mereka hendak kepada Umno, Umno sudah teruk,” katanya.
Beliau mengingatkan seluruh ahli PAS supaya jangan terperangkap dengan agenda Umno.
Katanya, pilihan raya Sarawak amat penting bagi PAS untuk membuktikan bahawa PAS bukan parti yang hanya sesuai untuk orang Melayu.
Beliau berkata, dakwaan negatif mengatakan untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu PAS perlu bergantung dengan parti lain.
“PAS telah pecahkan tembok ini dan kita guna slogan ‘PAS For All’,” katanya ketika melancarkan Tabung Pilihan Raya Sarawak peringkat negeri Selangor di Shah Alam.
Beliau berkata, PAS tidak mungkin mengubah pendekatan rakyat tetapi PAS boleh mengubah pendekatan terhadap mereka.
Katanya, PAS perlu meletakkan hasrat meningkatkan sokongan supaya tuduhan PAS tidak boleh bergerak bersendirian tidak benar.
“Gambaran negatif ini mesti PAS Selangor buktikan dalam PRN Sarawak. Anak sulung lahir daripada benih Selangor iaitu DUN Sebuyau dan Samalaju,” katanya.
Menurut beliau, isu di Sarawak berbeza setiap DUN kerana mereka berdepan dengan isu kemudahan asas, kebajikan dan isu-isu setempat.
Bagaimanapun katanya, seluruh jentera perlu fokus kepada satu isu bagi meraih sokongan pengundi berpihak kepada PAS.

0 comments: