PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI TANAH MELAYU
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Negara kita telah mengalami transformasi pendidikan semenjak daripada zaman penjajah sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Terdapat banyak faktor-faktor yang telah mendasari perubahan yang berlaku dalam perkembangan pendidikan di negara ini, sama ada faktor dalaman atau luaran. Rakyat Tanah Melayu mula tersentuh dengan pendidikan dan ilmu apabila mereka menganut agama Islam pada abad ke-15. Pendidikan kepada orang Melayu berkisar kepada pendidikan Islam yang diselitkan dengan kemahiran hidup. Pendidikan pondok juga menjadi sebahagian daripada institusi pendidikan orang Melayu terutama di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu. Pelajar-pelajar pondok yang mempunyai biaya dan cita-cita tinggi akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mekah dan India untuk terus menimba ilmu.
Pendidikan orang Melayu semakin merancak dengan kedatangan penjajah British yang memperkenalkan Sekolah Melayu dan Sekolah al-Quran untuk menarik minat orang Melayu menghantar anak ke sekolah. Di sisi lain, sekolah vernakular mula diperkenalkan dengan kehadiran imigran dari luar negara seperti dari China dan India. Sekolah-sekolah Inggeris yang menjadi ruang pertapakan mobiliti sosial berada di bandar-bandar dan jauh daripada masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perdesaan.
Perkembangan pendidikan orang Melayu juga semakin mencabar dengan kemunculan sistem madrasah yang lebih bersistem berbanding sekolah pondok. Kemunculan madrasah juga berkait rapat dengan gerakan reformis Islam yang sedang menjadi fenomena pada awal abad ke-20 di negara ini. Sebelum perang Dunia kedua madrasah telah tumbuh di seluruh Tanah Melayu dan menjadi institusi pendidikan yang popular kepada orang-orang Melayu. Segelintir lepasan madrasah telah menyambung pengajian mereka terutama ke Mesir dan juga Mekah.
Sebelum daripada negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat arus yang kuat daripada golongan agama untuk menggerakkan kesedaran pendidikan di kalangan orang Islam di negara ini. Fenomena ini terjadi berpunca daripada keterpurukan bangsa Melayu berbanding kaum lain yang lebih berpeluang mendapatkan pendidikan. Juga kesan daripada semangat nasionalisme yang turut disertai dengan keinginan membina intelektualisme bagi berhadapan dengan penjajah. Terdapat gerakan atau badan yang ditubuhkan untuk mengangkat martabat bangsa melalui medium pendidikan di negara ini.
Di antara badan yang ditubuhkan untuk tujuan murni ini ialah LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat), yang ditubuhkan hasil kesedaran Badan Kebajikan Pelajaran MATA untuk membangunkan pendidikan tinggi orang Melayu. Hasil daripada lawatan MATA ke seluruh Tanah Melayu, didapati keadaan pendidikan orang Melayu sangat lemah. Ini memang suatu hal yang sangat ketara sekali pada masa itu. Bukan sahaja soal pendidikan tinggi agak asing bagi kebanyakan orang Melayu, tetapi juga soal mendapatkan pelajaran rendah dan menengah masih juga tidak memuaskan di kalangan orang Melayu.
Selepas merdeka, sistem pendidikan diperhalusi dengan matlamat untuk menyatupadukan kaum di bawah satu bumbung negara. Kerana perpaduan adalah tema utama negara yang secara sistematis telah dipecahkan mengikut aliran kaum oleh penjajah British. Perkembangan pendidikan negara ini juga semakin rancak dan tersusun dengan penubuhan pendidikan tinggi yang akhirnya mengeluarkan kelompok kelas menengah berpendidikan, bermula dengan Universiti Malaya yang dibina pada tahun 1949 di Singapura, dan seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur. Selepas perlaksanaan DEB, institusi pengajian tinggi mula merancak dengan tuntutan untuk menyediakan pendidikan tinggi kepada rakyat dan merapatkan jurang antara kaum di negara ini.
Gerakan dakwah di negara ini telah turut sama memeriahkan panggung pendidikan negara dan melengkapkan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berilmu. Namun satu kesungguhan yang harus dipuji ialah institusi pendidikan yang dijayakan oleh gerakan dakwah ini cuba mengasuh pelajar mereka hidup dalam akhlak Islam serta sebahagian sekolah-sekolah yang ditubuhkan ini ialah untuk menampung pelajar yang tercicir dari sekolah akibat kemiskinan, kegagalan dalam peperiksaan awam dan sebagainya.
Gerakan dakwah di Malaysia juga terbukti mengambil jalur yang sederhana dalam menggarap perbezaan idea mereka dengan pihak pemerintah. Buktinya ialah sekolah-sekolah yang ditubuhkan ini menggunakan kurikulum dan peperiksaan awam yang diguna pakai di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia di negara ini. Ini membuktikan perbedaan jalur politik, perbedaan pandangan dan perbedaan pendekatan bukanlah penghalang kepada gerakan dakwah untuk sama-sama memajukan aspirasi pendidikan negara.
Lulusan daripada institusi pendidikan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dakwah ini juga akhirnya turut memberi saham kepada negara ini kerana mereka memenuhi pasaran kerja di sektor awam dan juga sektor swasta. Pendidikan di negara ini telah mengalami perkembangan yang menarik semenjak daripada zaman penjajahan akibat kepelbagaian kaum dan agama yang telah mencorakkan wajah pendidikan.
PAS pasca kepimpinan ulama telah mengambil usaha yang komprehensif untuk merancakkan pendidikan, bermula daripada prasekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi. Usaha tanpa lelah PAS dalam tempoh tiga dekad ini telah menunjukkan hasil, institusi pendidikan tajaan PAS telah menyumbang dalam pendemokrasian pendidikan. Alumni institusi pengajian milik PAS terbukti turut menyumbang kepada kepada pembangunan negara dan memenuhi Falsafah Pendidikan Negara.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)
0 comments: