PJ, TPJ ziarah bekas pemain kebangsaan yang lumpuh

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar bersama timbalannya Hj Andansura Rabu, meluangkan masa mengunjungi bekas pemain kebangsaan dan Pahang, Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah, 49 di kediamannya di Lorong Bukit Setongkol Jaya, 27, di sini, kelmarin.
Bekas penyerang aktif itu, diserang angin ahmar ketika memandu kereta pada Januari tahun lalu menyebabkan pemain kelahiran Jerantut itu lumpuh separuh badan pada peringkat awal selain hilang pertuturan.
Menurut isterinya Hamli Razana Hamzah, 46, keadaan suami mula menunjukkan perkembangan positif namun tangan kanannya suaminya belum berfungsi, tetapi boleh berdiri menggunakan tongkat selepas menjalani fisioterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan tiga kali sebulan selain pernah mendapatkan rawatan di Universiti Islam Antarabangsa.
Pasangan tersebut memiliki dua anak, Nadia Suhaila, 20, dan Muhammad Syamir, 14, masing-masing masih menuntut di Universiti Malaysia Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Putih, di sini.
Asyraf semasa zaman kegemilangannya terkenal dengan aksi gelecek dan antara pemain skuad emas negara terutama ketika membantu Malaysia merangkul pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 selain pernah beraksi menentang kelab terkenal Liga Inggeris, Everton dalam aksi perlawanan persahabatan.
Beliau juga pernah bergandingan bersama bintang dan bekas pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Yunus Aliff, Fandi Ahmad, V Sundramorty dan penyerang Thailand, Ronnchai Sayomchai dan Piya Pong Peun dalam skuad Pahang (1985-1992) dan kali terakhir menyarung jersi Negeri Sembilan pada 1993 sebelum bersara setahun kemudian.

0 comments: