Kuala Lumpur - 17 Mac 2016. "Berstiqamahlah dalam perjuangan sehingga membolehkan kita jadi veteran dalam PAS" itulah seruan Dr. Daeng Sanusi mantan Naib Presiden PAS dalam program Liqo Fikri PAS Wilayah Persekutuan di Darul Ummah, Kampong Pandan yang berlangsung pada malam 17 Mac 2016.
Pak Daeng menyatakan bahawa Ahli PAS adalah merupakan pendokong kepada sebuah wadah berteraskan Islam yang perlu menyokong, menghayati dan menyampaikan mesej Islam yang sebenarnya.
Beliau merujuk kepada buku Fiqh Dakwah karangan Pak Natsir yang menyarankan agar kita menyampaikan Islam seadanya; jangan diper'ada'kan, kerana Islam itu tulen dan jangan pula di'landak'kan, kelak orang akan lari. Itulah yang mesti menjadi pendirian PAS.
Memper’ada’kan bermaksud jangan menokok-tambah. Jangan dihias Islam untuk menarik orang ramai kerana Islam itu tulen dan telah lengkap. Me’landak’kan bermaksud jangan disusahkan dengan pelbagai halangan sehingga orang akan lari darinya.
Seterusnya, Pak Daeng menekankan bahawa kegawatan yang melanda PAS kini kerana tiga sebab utama; pertama kerana pendirian politik menghalalkan cara, kedua tiadanya akhlak Islam dan ketiganya ada agenda persendirian yang lain.
Beliau menyatakan "Pimpinan yang niat utamanya untuk mendapat keredhaan Allah, akan terus istiqamah, kekal sehingga menjadi veteran. Tidak akan gugur di tengah jalan"
“Sepak-terajang yang dilakukan oleh mereka yang niatnya bukan mardhatilLah, politik yang bertindak menghalalkan cara akan menyebabkan sanggup mengikut telunjuk mereka yang memusuhi kita. Dulu cukup memusuhi Dr. Mahathir, tetapi kini bersamanya pula”, tambah Pak Daeng lagi.
Sementara itu, penal kedua Pak Subky Latif, wartawan veteran mantan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, seperti biasa memberikan pandangan berdasarkan pengamatan kritikal beliau.
"Politik itu suatu seni yang mengelirukan, sehingga ramai ahli PAS sendiri terkeliru" ujar Pak Subky.
Walau bagaimanapun, tegas Pak Subky, sebagai ahli PAS yang istiqamah, apa juga pandangan Pimpinan kita kena ikut. Dalam waktu yang sama kena berusaha mendapat pencerahan agar kekeliruan tersebut diatasi.
Pak Subky juga menerangkan bahawa secara umumnya, PAS menerima sesiapa sahaja sebagai Ahli asalkan mereka yang beragama Islam dan cukup syarat-syaratnya. Ia berbeza dengan keahlian Jemaah Islam lain di Bangladesh, Pakistan dan India yang perlu melalui proses tertentu sebelum diterima menjadi ahli.
Oleh itu, beliau menyarankan agar sesuatu perlu difikirkan supaya mereka yang telah menganggotainya akan menerima tarbiyyah sehingga boleh menjadi ahli kepada sebuah gerakan Islam yang sebenar-benarnya.
“Malah, tidak keterlaluan kalau kita berusaha untuk memastikan agar sesiapa yang telah menjadi ahli PAS akan terus kekal sehingga akhir hayat” tambah Pak Subky lagi.
Menyentuh tentang pilihanraya pula, Pak Subky menyatakan bahawa kejayaan untuk pergi ke Putrajaya bergantung kepada gerak kerja kita yang betul-betul menurut syariat Islam agar memperolehi pertolongan dari langit.
Sebagai pejuang Islam, jangan terlalu gopoh untuk berjaya. “Atas sebab-sebab tertentu, kita harus menangguhkan hasrat ke Putrajaya itu walaupun kelihatan seperti telah hampir” tambah beliau lagi.
“Buat apa kita berjaya ke Putrajaya tetapi Islam tidak boleh dijayakan. Malah berdasarkan kepada sejarah, Dr. Burhanuddin, Yang DiPertua PAS ketika itu, berpendirian agar kemerdekaan Tanah Melayu ditangguhkan kerana jika kita merdeka ikut acuan British, ia tidak menguntungan Islam”, tegas Pak Subky menutup bual bicara beliau.
Liqo Fikri yang bertajuk “Sepak-Terajang Politik Malaysia; Apa Pendirian PAS” dipengerusikan oleh Ustaz Dr Azhar. Program anjuran Lajnah Tarbiyyah PAS Wilayah Persekutuan ini merupakan lanjutan daripada aktiviti mingguan Himpunan Malam Jumaat anjuran PAS Kawasan Titiwangsa yang diadakan di Darul Ummah.
Program yang dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang juga merupakan Bendahari PAS Pusat Tuan Hj Mohamad Noor Mohamad turut disertai oleh ramai Pimpinan PAS Wilayah Persekutuan pelbagai peringkat. Dianggarkan hampir 350 orang ahli PAS Wilayah Persekutuan turut serta dalam program tersebut.
0 comments: