TAUTAN MAHABBAH SENI : Seni untuk Semua

Pernah suatu ketika sahabat berkata pada rasulullah s.a.w bahawa dia telah menjadi munafik kerana pada saat bersama rasulullah, hatinya dekat dengan Allah tetapi apabila pulang ke rumah, hatinya lalai dan seronok dengan kehidupan bersama isteri dan anak-anak. Maka jawab rasulullah s.a.w;
“Demi Allah yang nyawaku dalam genggamanNya, sesungguhnya sekiranya kamu semua berterusan dalam keadaan seperti ketika bersamaku dan dalam keadaan berzikir, maka malaikat-malaikat akan berjabat menyalami kamu di tempat tidur dan di jalanan. Akan tetapi wahai Handzalah, seketika dan seketika yang lain. Nabi s.a.w mengulangi frasa ini sebanyak tiga kali sebagai menguatkannya kerana kepentingannya” (H. R Imam Muslim : Kitab At-Taubah-2750)
Daripada hadits ini, masyarakat membentuk perumpamaannya yang berbunyi; “Seketika untuk hati kamu, seketika untuk Tuhan kamu”.
Rasulullah s.a.w merupakan contoh teladan bagi umat akhir zaman untuk diikuti dan diteladani. Ketika berseorangan, baginda akan memperbanyakkan solat dengan penuh khusuk sehingga bengkak kaki baginda. Akan tetapi baginda juga seperti insan lain yang sukakan perkara yang baik, ceria, sentiasa senyum kepada orang lain, manja dan suka bermain dengan kanak-kanak, dan bergurau senda. Justeru hiburan dalam Islam sesekali tidak dilarang, namun perlu diingat bahawa setiap yang harus tetap juga ada batasan syariatnya.
Justeru Lajnah Kebudayaan dan Kesenian (LKKs) Dewan Muslimat PAS Malaysia akan membawa agenda ini dalam mendokong misi DMPM sesi kali ini iaitu menguasai politik dan perubahan minda rakyat melalui gerakan kebudayaan dan kesenian. LKKs bertanggungjawab untuk membetulkan minda masyarakat tentang hiburan terutamanya dalam kalangan penggerak parti serta mengajak lebih ramai penggiat seni, penghibur dan peminat seni untuk sama-sama berjuang dalam agenda menegakkan syariat Islam di Malaysia khususnya. 
Sebagai permulaan, LKKs DMPM akan mengadakan “Tautan Mahabbah Seni” iaitu pertemuan khusus bersama para penggerak LKKs di peringkat negeri bagi merancang strategi dan pelaksanaan untuk melunaskan agenda parti ini. Di samping merencana aktiviti lajnah, Tautan Mahabbah Seni ini juga akan menampilkan anak muda yang aktif sebagai selebriti juga dalam masa yang sama bergiat di medan dakwah dan perjuangan bersama PAS iaitu Ustaz Halim Hafidz. Beliau akan membawa kertas kerja yang bertajuk; Muslimah dan Seni dalam Agenda Dakwah, Tarbiyah dan Siyasah PAS.
Oleh yang demikian, LKKs DMPM berharap agar semua negeri dapat menghantar penyertaan sekurang-kurangnya 5 orang dalam program ini yang akan diadakan pada 26 Mac 2016 hari Sabtu jam 8.30 pagi bertempat di Bilik Kuliah 3 Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad KUIZM. Sebarang pertanyaan dan maklum balas, boleh terus menghubungi saudari Mimi 017-991 0040.

0 comments: