Anak Muda Tidak Perlu Bimbang, Perlaksanaan Program-Program Perumahan Akan Dipercepatkan

Kenyataan Akhbar
ANAK MUDA TIDAK PERLU BIMBANG, PELAKSANAAN PROGRAM-PROGRAM PERUMAHAN AKAN DIPERCEPATKAN
Rakyat tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Negeri Selangor mempunyai pelbagai program bertujuan untuk membantu rakyat memiliki rumah.
Semalam saya telah menerima satu memorandum daripada Kumpulan Anak Muda Prihatin yang menggesa Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan program-program tersebut.
Memorandum telah diserahkan di pejabat saya di Shah Alam oleh Pengerusi mereka Huzaifah Mokhtar.
Kerajaan Negeri memahami akan kebimbangan generasi muda dan telah meluluskan program-program itu.
Yang pertama adalah skim sewa beli Dana Sel. Skim ini adalah untuk rakyat yang hendak membeli rumah tetapi gagal mendapatkan pinjaman perumahan.
Kerajaan Negeri akan membeli rumah yang mereka hendak beli dan akan menyewakannya kepada mereka. Apabila mereka telah layak mendapat pinjaman bank, mereka boleh membeli rumah tersebut dari Kerajaan Negeri. Tetapi dengan harga yang telah ditolak sebahagian dari sewa yang telah dibayar.
Jika mereka masih tidak boleh mendapat pinjaman bank, Kerajaan Negeri akan mengumpul sebahagian dari sewa rumah yang dibayar setiap bulan. Apabila jumlah yang terkumpul bersamaan dengan harga jualan rumah maka rumah tersebut akan menjadi milik mereka.
Skim ini telah ditawarkan kepada pembeli-pembeli rumah di Rimba Jaya dan akan dibuka kepada pembeli-pembeli di seluruh negeri Selangor mulai bulan Jun ini.
Yang kedua adalah skim Smart Selangor First Home di mana Kerajaan Negeri akan membantu membayar deposit 10 peratus untuk pembeli rumah mendapatkan pinjaman bank.
Skim yang menggunakan konsep perkongsian pemilikan telah diumumkan oleh YAB Dato' Menteri Besar pada Ucapan Belanjawan beliau tahun lepas.
Walaupun pelaksanaan skim ini agak terlewat namun tawaran kepada pemohon-pemohon yang berjaya akan dilakukan pada bulan Jun ini.
Buat masa ini Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang memuktamadkan peraturan-peraturan bagi skim ini.
Skim ketiga adalah skim Selangor Smart Sewa. Sejak tahun lepas, Kerajaan Negeri telah membeli unit-unit Rumah Selangorku untuk disewakan kepada rakyat. Unit-unit juga akan dibeli tahun ini.
Di bawah skim ini, rakyat akan menyewa untuk tempoh tertentu. Setelah tamat tempoh tersebut, penyewa akan menerima kembali sebahagian dari sewa yang dibayar. Pembayaran balik ini boleh membantu mereka membeli rumah seperti untuk membayar deposit pinjaman perumahan.
Ketiga-tiga program ini adalah program baru yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Oleh yang demikian sudah tentu terdapat kelewatan di dalam pelaksanaannya. Terdapat isu-isu perundangan dan kewangan yang terpaksa diselesaikan terlebih dahulu.
Saya juga memahami jumlah yang diperuntukkan adalah tidak besar berbanding dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat terutamanya generasi muda.
Dari 7,820 orang yang ditawarkan Rumah Selangorku, 3,490 telah menolak dengan sebab utama penolakan adalah kerana tidak mendapat pinjaman pembiayaan.
Walaupun hanya terdapat satu peruntukan "one-off" RM10 juta untuk skim Dana Sel dan RM1.6 juta untuk tahun ini dan tahun lepas bagi skim Selangor Smart Sewa tetapi Kerajaan Negeri melalui LPHS akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan dengan segera supaya mereka yang layak tidak tertunggu-tunggu.
Untuk skim Smart Selangor First Home, LPHS akan mengenalpasti peruntukan bagi skim ini dalam kadar yang segera untuk pelaksanaan mulai bulan Jun ini.
Dengan usaha-usaha Kerajaan Negeri ini saya berharap anak muda di Selangor dapat menarik nafas lega kerana terdapat pelbagai program perumahan Kerajaan Negeri dan akan diusahakan agar peruntukan digandakan setiap tahun sesuai dengan masalah yang dihadapi rakyat.
YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
12 April 2016

0 comments: