Catatan Khas Parlimen: 4 Minit yang Bermakna
1. Minggu ini merupakan minggu terakhir sidang Dewan Rakyat.
Seperti kebiasaan, Ahli Parlimen Marang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hadir ke sidang dewan. Tuan Guru hanya tidak hadir sekiranya keuzuran atas masalah kesihatan atau ada urusan penting yang perlu diselesaikan.
Hanya pihak tertentu yang sengaja memburukkan imej beliau kononnya Tuan Guru suka ponteng sidang, sedangkan yang tukang sebar berita itu tidak ada pun di Parlimen ini.

Saya tidak menyangka pula Tuan Guru ingin ikut serta dalam perbahasan Rang Undang-Undang tersebut kerana tidak nampak pula teks disediakan untuk perbahasan.
Apabila Tan Sri Speaker memulakan giliran perbahasan, YB Marang dipersilakan sebagai pembahas pertama.
3. Tuan Guru memulakan perbahasan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Langkah- Langkah Pencegahan Khas) dengan menyebut antara kelemahan utama undang-undang sedia ada ialah hanya mengutamakan aspek lahiriah, dan tidak ada unsur rohani atau spritual. Tuan Guru menerangkan berkenaan undang-undang di dalam Islam ada 3 kategori;
a) Qisos
b) Hudud
c) Ta'zir
Jenayah dadah ini termasuk dalam kategori Ta'zir iaitu terletak kepada budibicara pihak berkuasa dan kehakiman.
4) Islam amat mementingkan aspek mendidik, bukan sahaja menghukum pesalah. Apa yang dapat dilihat, undang-undang sedia ada hari ini mengenakan hukuman denda, penjara dan gantung sampai mati tetapi masalah dadah tetap tidak selesai. Mereka punyai duit yang banyak untuk membayar denda yang dikenakan.
5) Ta'zir dalam konteks ini lebih tepat kepada hukuman sebatan mengikut syariah. Sebatan itu dikenakan bukan berobjektifkan mencederakan pesalah tetapi memalukan penjenayah apabila dikenakan hukuman di khalayak ramai. Secara tidak langsung, ia turut mendidik masyarakat agar tidak terjebak dalam jenayah ini.
6) Justeru, Tuan Guru mengutarakan cadangan kepada kerajaan agar merujuk kepada pihak berkaitan seperti IKIM, JAKIM dan badan lain untuk melaksanakan kajian bagi menggubal undang-undang baru sebagai ganti kepada undang-undang yang sudah gagal ini.
7) Tuan Guru menyampaikan ucapan perbahasan itu dalam tempoh 4 minit sahaja tetapi ia bermanfaat buat semua yang mendengarnya. Sebaik sahaja beliau keluar daripada dewan, seperti biasalah kumpulan wartawan akan menyerbu beliau bagi mendapatkan respon berkenaan isu semasa. Ada masa beliau akan melayan kesemua soalan yang diajukan, ada waktu tertentu beliau akan terus bertolak pulang.
8) Pelbagai soalan spontan diajukan oleh wartawan, adakalanya ia soalan yang berbentuk 'perangkap' dan provokasi. Seandainya, tersilap susun perkataan dan ayat, media akan memanfaatkannya sebagai pelaris berita sensasi bagi meningkatkan jumlah pembaca dan pengunjung portal mereka. Jadi, penting untuk kita tidak begitu cepat membuat kesimpulan dan memviralkannya tanpa menyiasat kesahihan sesuatu berita yang tersebar.
Catatan oleh,
Syed Ahmad Fadhli,
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
0 comments: