Mulai Januari 2016, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memulakan projek rintis Dual Language Programme (DLP) di 300 buah sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih di seluruh negara. Program ini memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang layak untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi. Dalam projek rintis ini, mata pelajaran yang terlibat ialah Matematik dan Sains bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1.
Metod pelaksanaan DLP ini hampir sama dengan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dimansuhkan oleh pihak kerajaan pada tahun 2009. Pemansuhan PPSMI dibuat setelah melihat kesan negatifnya terhadap penurunan prestasi para pelajar dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Lebih mendukacitakan apabila PPSMI gagal meningkatkan penguasaan para pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Adalah sangat menghairankan kenapa DLP diperkenalkan pada ketika ini, sedangkan pihak kerajaan sendiri telah mengakui akan kegagalan dasar PPSMI.
Oleh yang demikian, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil pendirian MEMBANTAH pelaksanaan DLP atas sebab-sebab berikut:
1. Bahasa adalah alat komunikasi dan medium penyampaian ilmu dan bukanlah kayu ukur kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa.
Bahasa adalah satu anugerah Allah yang sangat unik. Keistimewaan bahasa sesuatu bangsa itu dapat difahami melalui firman Allah:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan." (Ar-Rum: 22)
Ayat di atas menunjukkan keistimewaan bahasa kepada sesuatu bangsa apabila bahasa dan warna kulit digandingkan bersama-sama. Maka, kecintaan kepada bahasa kebangsaan kita sendiri adalah satu fitrah.
Sejarah telah merakamkan kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua-franca di rantau Asia Tenggara. Bahasa Melayu bukan sekadar menjadi alat komunikasi harian, malah menjadi bahasa pengantar dalam perdagangan, hubungan antarabangsa, penyampaian ilmu dan penyebaran dakwah di rantau ini.
Pada masa kini, kita dapat lihat teladan daripada negara-negara Jepun, China dan Korea yang telah mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi walaupun mereka masih mengekalkan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya berbangga dengan bahasa kita sendiri dan berusaha membuktikan bahawa kita juga boleh menjadi maju dan berjaya dengan menggunakan bahasa kita sendiri.
2. Semua mata pelajaran (selain Bahasa Inggeris) di peringkat sekolah rendah dan menengah mesti diajar dalam Bahasa Melayu (atau bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan).
Semua rakyat Malaysia berhak mendapat pendidikan asas sekurang-kurangnya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Tujuan pendidikan peringkat sekolah adalah untuk memberikan ilmu-ilmu asas kepada para pelajar. Oleh itu, semua mata pelajaran di peringkat sekolah (selain Bahasa Inggeris) mestilah diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pelajar.
Kajian akademik terhadap pelaksanaan PPSMI sebelum ini mendapati 75 hingga 80 peratus daripada para pelajar yang terlibat dengan kajian tersebut sukar faham pengajaran mata pelajaran Matematik dan Sains yang diajar dalam bahasa Inggeris.
3. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang mesti digunakan dalam semua urusan rasmi termasuk PdP di sekolah-sekolah kebangsaan.
Perkara 152(1) Perlembagaan Malaysia mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang diguna pakai dalam semua urusan rasmi. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 pula menetapkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua insititusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan (kecuali di SJK). Oleh itu, pelaksanaan DLP adalah bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di atas.
4. Pelaksanaan DLP tidak selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Menurut KPM, DLP dilaksanakan di bawah dasar MBMMBI dengan tujuan untuk meningkatkan penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah agar mereka dapat bersaing di peringkat global dalam bidang ilmu pengetahuan dan juga pekerjaan.
Hakikatnya, Dasar MBMMBI diperkenalkan secara berperingkat mulai tahun 2010 bagi menggantikan PPSMI. Mulai tahun 2011, pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula dengan murid Tahun 1 di mana PdP mata pelajaran Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu di SK dan bahasa pengantar di SJK. Oleh itu, pelaksanaan DLP dilihat sebagai satu langkah 'undur ke belakang' yang tidak selaras dengan aspirasi MBMMBI.
Kesimpulannya DLP adalah satu program yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa perbincangan dan kajian yang mendalam dengan ahli akademik yang pakar mengenainya. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan program DLP ini.
Kesimpulannya DLP adalah satu program yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa perbincangan dan kajian yang mendalam dengan ahli akademik yang pakar mengenainya. Dewan Muslimat PAS Malaysia amat kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan program DLP ini.
Oleh itu, ayuh kita zahirkan rasa kekesalan ini dengan menghadirkan diri ke Himpunan Aman Bantah DLP pada hari Sabtu, 9 April 2016, jam 2.30 petang, di Padang Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur. Semoga kehadiran kita dapat membuktikan keprihatinan kita terhadap kepentingan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara kita.
NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Jamadil Akhir 1437H
7 April 2016
0 comments: