KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) diadakan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan tarikh pembubaran pada 31 Mac lepas selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada hari yang sama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima notis pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar pada 1 April.
Dalam pilihan raya negeri ke-11 akan datang, 11 kerusi baharu turut menjadi rebutan berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun lepas, dan menjadikan jumlah kerusi sebanyak 82 DUN dipertandingkan berbanding 71 kerusi pada PRN10 yang diadakan pada April 2011.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yakin Barisan Nasional (BN) Sarawak dengan barisan sedia ada dalam 'Pasukan Adenan', kerajaan negeri yang ada sekarang akan terus berkuasa pada penggal akan datang dengan memenangi sekurang-kurangnya 60 hingga 70 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 ini.
Dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala selebihnya dimenangi DAP (12), PKR (tiga) dan Bebas (satu). Setakat ini PKR dan DAP belum lagi mengumumkan calon mereka secara rasmi.
PAS telah mengumumkan 11 calon bagi mewakili parti tersebut dalam pilihanraya negeri ke-11 yang akan diumumkan tarikhnya oleh SPR. Sebelas (11) kerusi Dun tersebut adalah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.
0 comments: