
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA (DPPM)
11 April 2016 | 3 Rejab 1437H
HALANGAN TERHADAP DR ZAKIR NAIK DIBANTAH, RAIKAN PERBINCANGAN ILMIAH
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kesal dengan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak membenarkan program ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ melibatkan penceramah terkenal, Dr Zakir Naik. Ia dijadualkan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada hari Ahad, 17 April 2016. Ketetapan tersebut dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi ini.
2. DPPM beranggapan tindakan berkenaan sebagai satu langkah ke belakang dan tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu yang tidak dapat meraikan perbincangan ilmiah dalam dimensi perbezaan agama. Menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di sebuah lokasi yang bersifat akademik hakikatnya merupakan satu tindakan lemah oleh sebuah kerajaan yang pernah menabalkan Dr Zakir Naik sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2012 yang lepas.
3. DPPM ingin menegaskan bahawa sebarang ceramah yang diadakan oleh Dr Zakir Naik hanyalah bersifat perbandingan agama semata-mata. Ia boleh disangkal juga melalui hujah-hujah ilmiah dan boleh disaksikan oleh ribuan penonton secara langsung. Hadir dan berdialog secara berdepan ialah satu langkah yang paling sesuai, manakala menggelar penceramah ini sebagai ‘syaitan’ seperti yang dilakukan oleh pemimpin parti politik tertentu hanya mengesahkan sifat cauvinis dan rasis yang dinafikan selama ini.
4. DPPM dengan ini menggesa pihak polis menarik balik halangan yang telah diumumkan ini dan mendesak pihak kerajaan untuk turut campur tangan bagi memastikan kebebasan bersuara yang menjadi salah satu elemen penting dalam amalan demokrasi terus dipertahankan.
5. Adalah amat janggal apabila artis-artis dari luar negara bebas untuk mengadakan konsert di negara ini sekalipun dibantah oleh umat Islam, tiba-tiba seorang penceramah yang hanya menggunakan hujah ilmiah dihalang semata-mata bantahan dari golongan minoriti.
Sekian.
"Beristiqamah Hingga Kemenangan"
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
0 comments: