KENYATAAN MEDIA
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
4 April 2016 | 26 Jamadil Akhir 1437H
SPAD PERLU BERLAKU ADIL KEPADA PEMANDU TEKSI
1. DPPM memandang serius permasalahan yang melanda industri perkhidmatan teksi tanah air. Apatah lagi cetusan rasa pemandu-pemandu teksi yang mengadakan tunjuk perasaan di Bukit Bintang baru-baru ini menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kementerian Pengangkutan sudah tidak dapat dibendung lagi akibat rasa diperlakukan dengan tidak adil berkaitan isu UBER dan Grabcar.
2. SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu adil dan saksama dalam menyelesaikan isu ini. DPPM tidak mahu isu ini berlanjutan hingga menimbulkan kekecohan sehingga menyebabkan industri perkhidmatan teksi tanah air tergendala, membawa nama atau imej yang buruk serta tidak baik kepada negara. Walaupun atas nama pembaharuan serta inovasi dengan membenarkan UBER dan Grabcar beroperasi namun industri teksi yang sekian lama menjadi tulang belakang pengangkutan awam tidak harus diketepikan begitu saja.
3. Memodenkan serta menaikkan taraf industri pengangkutan awam sesuai dengan keadaan semasa memang patut dilakukan namun perlu juga menaiktaraf perkhidmatan yang sedia ada agar selari serta boleh bersaing secara sihat dan adil. Tedapat banyak kekangan serta kekurangan yang berlaku kepada pemandu-pemandu teksi yang ada sekarang. SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu menilai semula sistem serta cara pengusaha-pengusaha teksi beroperasi agar nasib pemandu-pemandu teksi terbela.
4. Kebanyakkan pemandu teksi merasakan tidak adil bagi mereka dikenakan pelbagai peraturan sebelum boleh beroperasi berbanding pemandu UBER dan Grabcar seperti pemeriksaan Pusapakom, Lesen PSV, permit teksi dan sebagainya. Itu tidak diambil kira sewa harian yang secara puratanya sebanyak RM50 yang perlu dibayar kepada pengusaha teksi. Berbanding dengan pemandu UBER dan Grabcar, mereka hanya seperti pemandu awam biasa tanpa dikenakan peraturan seperti pemandu-pemandu teksi lain yang berkerja tetap.
5. DPPM juga merasakan SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu menyelaraskan sistem untuk semua pengusaha teksi demi kebaikan industri perkhidmatan teksi terutamanya kebajikan pemandu-pemandu teksi itu sendiri. Caruman Perkeso, KWSP, cuti dan lain-lain kebajikan perlu untuk setiap pemandu teksi. Teksi yang dibekalkan kepada pemandu teksi juga perlu diseragamkan serta dengan harga yang berpatutan. Jika dilihat sewa harian teksi yang perlu dibayar oleh pemandu teksi, mereka sepatutnya beroleh faedah yang lebih baik berserta kereta yang lebih berkualiti berbanding keadaan sekarang.
6. Dengan kegawatan yang melanda industri perkhidmatan teksi sekarang, DPPM merasakan sudah sampai masanya Kerajaan serius terhadap permasalahan ini dan bukan bertindak umpama melepaskan batuk di tangga. Dalam usaha Kerajaan untuk memodenkan industri pengangkutan awam serta menerapkan inovasi terbaru, perkhidmatan yang sedia ada perlu juga dinaik taraf serta dijaga kebajikannya seperti pemandu-pemandu teksi agar dapat bersaing dengan sihat serta setaraf dengan negara-negara lain. Jangan kerana pembaharuan, perkhidmatan teksi yang sudah lama menjadi tunjang pengangkutan rakyat tidak dipedulikan.
7. DPPM merasakan biarlah semuanya sama adil serta saksama, apa yang dikenakan kepada pemandu teksi sekarang dikenakan juga kepada pemandu UBER dan juga Grabcar. Begitu juga pengusaha-pengusaha teksi sedia ada, diberikan persaingan yang sama rata dengan UBER dan Grabcar serta di selarasaskan operasi mereka agar menjadi lebih efisyen dan berdaya saing serta yang paling utama ialah kebajikan pemandu terpelihara. Mereka pemandu teksi adalah duta negara, jangan biarkan mereka merasa teraniaya di negara sendiri.
Sekian.
“Mempersiap Generasi Kemenangan"
"Beristiqamah Hingga Kemenangan”
IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
0 comments: