KENYATAAN MEDIA YB TUAN HAJI ZAIDY ABDUL TALIB

1. Fenomeno El-Nino yang melanda telah mengakibatkan berlaku kekeringan di beberapa kawasan di Malaysia. Kebimbangan dalam kalangan rakyat khususnya di Selangor terhadap kekurangan bekalan dan gangguan air diambil maklum oleh Kerajaan Negeri. Sehingga hari ini, banyak negeri yang terjejas teruk terhadap kekeringan kolam dan penurunan paras empangan yang mendadak kesan daripada fenomeno El-Nino yang melanda. Namun di Selangor Alhamdulillah sehingga 18 April 2016 kapasiti takungan semua empangan Negeri Selangor berada di dalam keadaan baik melebihi paras 60%. Walaupun disana terdapat gangguan bekalan air di beberapa kawasan namun Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memulihkan kembali kawasan yang terjejas tersebut.
Berikut adalah status semasa kapasiti ketujuh-tujuh empangan negeri sehingga 18 April 2016;
Empangan Sg. Selangor : 67.35%
Empangan Sg. Tinggi : 76.88%
Empangan Sg. Semenyih : 71.12%
Empangan Sg. Langat : 73.38%
Empangan Batu : 72.39%
Empangan Klang Gates : 64.75%
Empangan Tasik Subang : 87.93%

2. Persediaan dan Keboleh Dapatan Sumber Air Ketika Musim Kering.
Walaupun kapasiti air kesemua empangan-empangan negeri di dalam keadaan yang baik, Kerajaan Negeri Selangor telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah mitigasi untuk menghadapi musim kering yang melanda. Beberapa langkah telah dan akan terus dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air seperti berikut :
a) Melaksanakan operasi pembenihan awan (cloud seeding) seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air. Pelaksanaan operasi bagi tahun 2016 telah bermula pada 16 Januari yang lalu dan dijalankan sebanyak 2 kali setiap hari.
b) Meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut. Operasi pengepaman telah bermula pada 8 Januari yang lalu dan jumlah pengeluaran telah ditingkatkan sehingga 500 juta liter sehari (JLH).
c) Mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada.
d) Pengepaman air daripada Empangan Semenyih ke Langat yang dianggarkan sebanyak 70 JLH untuk memastikan sumber air mencukupi bagi loji pembersihan air (LPA) Sg. Langat dan mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air daripada Empangan Langat.
e) Menyalurkan air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat yang bertujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat untuk LPA Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11. Penyaluran sebanyak 300 JLH ini akan diaktifkan apabila kapasiti Empangan Langat mencecah 45%.
f) Menyediakan sumber air tambahan melalui 2 kolam warta orang asli di daerah Sepang untuk kegunaan LPA Bukit Tampoi bagi memastikan kelangsungan bekalan air daripada loji tersebut dan mengelakkan pencemaran akibat peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di dalam sungai.
g) Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air.
h) Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk semasa waktu cuti dan musim perayaan.
3) Catuan Bekalan Air
Kerajaan Negeri Selangor yakin dengan keupayaan takungan empangan semasa dan tindakan-tindakan yang sedang dilaksanakan untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang musim kering. Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk melaksanakan catuan bekalan air.
4) Kempen Jom Jimat Air
Kerajaan negeri juga menitikberatkan tentang penggunaan air di Selangor memandangkan penggunaan air di Selangor adalah yang tertinggi berbanding negeri lain iaitu secara purata sebanyak 235 liter air perkapita. Justeru dengan mengadakan Kempen Jom Jimat Air ini diharapkan dapat membangkitkan kesedaran dan menanamkan pembudayaan dalam kalangan masyarakat untuk lebih menghargai sumber bekalan air bersih melalui perubahan sikap, amalan cara hidup berjimat-cermat dan kesederhanaan. Tanggungjawab untuk memastikan kelestarian bekalan air bukan hanya dipikul oleh agensi-agensi secara individu, bahkan turut memerlukan penglibatan kolektif dari segenap lapisan masyarakat.

YB TUAN HAJI ZAIDY ABDUL TALIB
Exco Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani

0 comments: