Khutbah Jumaat
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Mujizat Ilmu
01 April 2016
Wahai hamba-hamba Allah, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita mendengar dan memahami seruan Allah SWT:
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu Yang telah menciptakan kamu dan orang-orang Yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
Dia lah Yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta Segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina Dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya Dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan Yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). Surat Al-Baqarah 21 – 22.
Seruan yang diperintah supaya disampaikan oleh Nabi akhir zaman, Muhammad SAW, ditujukan kepada seluruh manusia yang merupakan dasar akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul AS, bermula dengan Nabi Adam AS sehinggalah Nabi-nabi yang lain yang diutuskan oleh Allah SWT kepada kaum dan bangsa masing-masing, di negeri dan zaman masing-masing. Allah menutup kerasulan itu dengan Nabi akhir zaman, Muhammad SAW.
Seruannya ditujukan kepada seluruh manusia di dunia ini tanpa mengira bangsa dan kaum, dimana sahaja mereka berada, ditujukan kepada mereka semua sehingga hari kiamat. Di akhir zaman yang dilihat pada hari ini langit yang terbuka tanpa sempadan. Manusia mendapat maklumat dengan mudah, bergerak ke sana ke mari dengan senang dalam masa yang cepat. Manusia boleh diberitahu keseluruh dunia, boleh berkumpul dalam masa yang cepat, maka cukup seorang Rasul sahaja, Nabi akhir zaman, Muhammad SAW.
Allah mengurniakan kepadanya mukjizat ilmu iaitu Al-Quran Karim, berbeza dengan mukjizat Nabi-nabi dan Rasu-rasul yang sebelum darinya, mengikut zaman, keadaan dan cabaran masing-masing. Adapun Nabi akhir zaman ini zaman ilmu, zaman manusia berbangga dengan kebolehan yang diberi kepada mereka untuk memakmurkan dunia ini dengan kemudahan-kemudahan yang diberi oleh Allah SWT. Mereka hendaklah sedar diri mereka dijadikan oleh Allah, mereka tidak ada kalau tidak dijadikan oleh Allah SWT. Mereka berpijak di bumi Allah, mereka bernaung di bawah langit Allah, Allah yang menjadikan diri mereka, menjanjikan rezeki kepada mereka, rezeki roh dan jasad, diberi segala kemudahan dalam kehidupan dunia ini. Mereka hendaklah sedar semuanya adalah pemberiaan dari Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya.
Manusia itu hendaklah mengabdikan diri, memperhambakan diri dan beribadat hanya kepada Allah SWT. Jangan mengadakan atau melantik tuhan-tuhan yang lain dari Allah, samada kayu, batu, manusia , malaikat, jin dan sebagainya kerana Allah sahaja tuhan, tidak ada Tuhan yang lain dari-Nya. Mereka hendaklah memakmurkan bumi tempat mereka berpijak ini untuk makan minum mereka, tempat tinggal mereka, segala kemudahan mereka dan pengurusan mereka, semuanya diberi oleh Allah SWT. Maka hendaklah patuh kepada peraturan dan ketetapan Allah SWT.
Allah kurniakan mukjizat ilmu, Al-Quran Karim kepada Nabi akhir zaman, Muhammad SAW, dinyatakan di dalam Al-Quran itu semua perkara yang berkaitan dengan kejadian dan keperluan manusia, dinyatakan batass dan sempadannya, boleh dan tidak boleh dengan Rahmat dari Allah SWT.
Manusia jangan pandai mencari pertolongan yang lain. Allah SWT mencabar mereka yang mencari petunjuk yang lain.
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa Yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah Yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang Yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) Yang disediakan untuk orang-orang kafir. Surah Al-Baqarah 23 – 24.
0 comments: